Tuesday, April 2, 2013

Kajian kes Pemasaran




Idea untuk mengeluarkan komputer keluaran tempatan wujud ekoran daripada inisiatif kerajaan untuk mewujudkan Koridor Raya Multimedia ( MSC ). Kewujudan MSC dirasakan tidak sempurna sekiranya Malaysia masih belum mampu untuk mengeluarkan komputer sendiri. Tambahan pula kebanyakan komputer klon yang ada ketika ini masih bermutu rendah dan sesiapa sahaja boleh memasangnya dengan membeli komponennya dari kedai – kedai komputer. Tidak mustahil juga lambat laun Malaysia akan dilabel sebagai pengeluar PC klon terbesar dan negara lain akan memandang rendah keupayaan Malaysia.

Bertitik tolak dari situ, sekumpulan usahawan dan pakar teknologi maklumat telah bersama – sama menubuhkan Perbadanan Komputer Nasional Berhad ( NASCOM ) dengan matlamat untuk melakukan penyelidikan di dalam bidang teknologi maklumat seterusnya menjadikan Malaysia pengeluar utama komputer tempatan. Kementerian Perdagangan Luar dan Industri telah mengiktiraf komputer keluaran NASCOM sebagai komputer buatan Malaysia. NASCOM akan memasarkan produk komputernya di bawah jenama PC Suria. Pemilihan nama ‘ Suria ‘ yang bermaksud sinar diharapkan dapat memberi sinar baru di dalam industri ICT.

90% pasaran produk NASCOM adalah di luar negara manakala hanya 10% sahaja untuk pasaran tempatan. Pasaran di luar negara adalah negara di rantau Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika, Eropah, Asia dan Asia Pacific. Pemasaran komputer ini dilakukan dengan melantik pengedar – pengedar di negara berkenaan.

Sebagai langkah permulaan, NASCOM telah mengeluarkan 3 kategori produk iaitu komputer desktop, komputer notebook dan pelayan ( server ). Setiap produk ini mempunyai rekabentuk dan kombinasi warna yang menarik di mana ia akan membezakan PC Suria dengan komputer yang sudah sedia ada di pasaran. Teknologi yang digunakan merupakan teknologi yang terkini dan setaraf dengan standard piawaian antarabangsa. Setiap produk ini sesuai untuk digunakan samada untuk pengguna akhir iaitu bagi kegunaan peribadi dan juga bagi pengguna industri iaitu bagi kegunaan di dalam operasi mereka. Ciri – ciri yang terdapat pada produk PC Suria berasaskan kepada ramah pengguna ( user friendly ) dan ia mudah untuk diselenggarakan.

Bagi komputer jenis desktop, NASCOM telah mengeluarkan dua model iaitu PC Suria Temara dan PC Suria Ceriga. Satu model pula telah dikeluarkan bagi komputer jenis notebook iaitu PC Suria Permata. Produk yang terakhir ialah pelayan ( server ) terbahagi kepada dua iaitu PC SURIA SV950P dan PC SURIA SV1100P.

Dengan perancangan strategi jangka panjang dan visi untuk untuk menjadi pemain utama di dalam industri komputer, NASCOM akan sentiasa mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan selain daripada membawa masuk teknologi terkini untuk disesuaikan dengan produk yang dikeluarkan.


Soalan:

  1. Berdasarkan kepada produk – produk keluaran NASCOM, tentukan perkara – perkara yang berikut :
i.              Kelebaran produk
ii.             Kepanjangan produk
iii.            Kedalaman produk
iv.            Ketekalan paduan produk
( 10 markah )

  1. Bincangkan berkenaan jenis penjenamaan yang digunakan oleh NASCOM.
( 3 markah )

  1. Pada pendapat anda, apakah peringkat yang sedang dilalui oleh PC Suria di dalam Kitaran Hayat Produk ? Nyatakan alasan anda.
( 2 markah )

No comments :

Post a Comment