Monday, June 30, 2014

Kajian kes Pengajian Perniagaan - pengurusan pengeluaran

Kajian kes pengurusan pengeluaran
Syarikat Mutiara Berhad

Kilang perabot Maju dimiliki oleh Syarikat Mutiara Berhad. Kilang ini terletak di Jerantut dan telah beroperasi  sejak 1985. Kebanyakan produk yang dikeluarkan oleh syarikat ini dipasarkan  di Eropah dan juga pasaran tempatan .  Sejak kebelakangan ini, persaingan daripada perabot Negara China , Indonesia dan Vietnam yang  mula memasuki pasaran tempatan dan  Eropah menyebabkan  jualan Syarikat Mutiara telah merosot sebanyak 25%.  Di samping itu, syarikat juga menghadapi masalah mengeluarkan perabot mengikut tren pengguna semasa yang sentiasa berubah. Untuk meningkatkan jualan perabot syarikat telah berusaha untuk meningkatkan kualiti produk dengan mendapatkan pengiktirafan SIRIM. Syarikat Mutiara juga berusaha menarik minat pembeli dengan mengeluarkan perabot mesra alam dengan menggunakan teknologi hijau dan  menggunakan bahan organik. Syarikat Mutiara juga bercadang untuk menggantikan mesin sedia ada dengan  mesin baru yang diimport dari Taiwan untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti perabot.

Pengurus pengeluaran  kilang ini ialah Encik Firdaus yang mempunyai pengalaman  sebanyak 18 tahun. Beliau telah menetapkan standard pencapaian untuk setiap pekerja. Pekerja juga diberi ganjaran berdasarkan prestasi mereka. Pekerja juga diberi tugas berdasarkan kemahiran  yang dimiliki. Mesyuarat mingguan bersama pengurus pemasaran, kewangan dan sumber manusia merupakan landasan untuk berkongsi maklumat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh syarikat. Jabatan pengeluaran bergantung kepada maklumat yang diperoleh dari jabatan pemasaran seperti kuantiti pesanan, citarasa pengguna dan spesifikasi produk sebelum menghasilkan perabot.  Kilang ini mengeluarkan perabot dalam kuantiti yang banyak dan seragam. Susunan mesin dibuat dalam bentuk barisan untuk memudahkan pemasangan dan penghasilan perabot.

Walaupun ada cadangan untuk memindahkan lokasi kilang ini ke Klang, Selangor, Pengurus Besarnya Datuk Sukiman tidak bersetuju kerana bekalan kayu yang banyak dan mudah diperoleh di Jerantut. Upah pekerja juga lebih rendah berbanding di Selangor.  Kilang ini mudah dihubungi kerana jarak dari lebuhraya Pantai Timur  ke Jerantut  di sekitar 60 km.  Ada kemudahan lengkap seperti bekalan air, elektrik dan telekomunikasi menyebabkan operasi kilang berjalan lancar.

Berdasarkan kes di atas jawab soalan berikut:

a. Huraikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh syarikat Mutiara dalam
    pengeluaran perabot.  [20]

(Pastikan jawapan anda mempunyai  fakta, huraian dan contoh daripada kes)

Fakta:    Gobalisasi
Huraian: Pengeluar tempatan menghadapi persaingan sengit dari pengeluar Negara lain.
Contoh daripada kes: Persaingan daripada perabot Negara China , Indonesia dan Vietnam yang  mula memasuki pasaran tempatan dan  Eropah menyebabkan  jualan Syarikat Mutiara telah merosot sebanyak 25%.  

2. Keperluan untuk memenuhi citarasa pengguna yang pelbagai. Produk pengeluar mesti berupaya memenuhi citarasa  pengguna. Kitaran hayat produk pula semakin pendek. Contohnya: Syarikat juga menghadapi masalah mengeluarkan perabot mengikut tren pengguna semasa yang sentiasa berubah.

3. Penekanan kepada kualiti pengeluaran.Jangkaan pengguna terhadap kualiti produk semakin meningkat dan pengurus pengeluaran perlu berusaha untuk  meningkatkan kualiti produk secara berterusan. Contohnya: Untuk meningkatkan jualan perabot syarikat telah berusaha untuk meningkatkan kualiti produk dengan mendapatkan pengiktirafan SIRIM.

4. Kepekaan terhadap isu alam sekitar. Pengurus pengeluaran perlu mengambilkira aspek alam sekitar agar pengeluaran tidak mencemarkan alam sekitar dan juga menghindari tindakan kerajaan. Contohnya: Syarikat Mutiara juga berusaha menarik minat pembeli dengan mengeluarkan perabot mesra alam dengan menggunakan teknologi hijau dan  menggunakan bahan organik.

5. Teknologi.Penggunaan teknologi terkini untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran.Contohnya: Syarikat Mutiara juga bercadang untuk menggantikan mesin sedia ada dengan  mesin baru yang diimport dari Taiwan untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti perabot.

b. Jelaskan prinsip pengurusan Frederick W. Taylor yang telah digunakan oleh Encik Firdaus . [12]
-          Penetapan standard. Pekerja perlu diberitahu tentang standard yang perlu dicapai oleh  mereka.  Contohnya: Beliau telah menetapkan standard pencapaian untuk setiap pekerja.

-          Hubungan antara ganjaran dengan prestasi pekerja. Pemberian ganjaran kepada pekerja pelu mengambil kira pencapaian pekerja dalam tugas yang diberikan.Contohnya: Pekerja diberi ganjaran berdasarkan prestasi mereka

-          Pemilihan pekerja berdasarkan kemahiran. Pekerja perlu diberi tugas mengikut kemahiran yang ada pada pekerja berkenaan.Contohnya:  Pekerja juga diberi tugas berdasarkan kemahiran  yang dimiliki.

c. Huraikan hubungan antara jabatan pemasaran dan jabatan pengeluaran di kilang tersebut. [8]

-          Jabatan pemasaran memberi maklumat tentang kuantiti perabot yang diperlukan kepada jabatan pengeluaran

-          Jabatan pengeluaran membuat perabot mengikut spesifikasi yang dikenalpasti oleh jabatan pemasaran

-          Jumlah perabot yang dikeluarkan oleh jabatan pengeluaran berdasarkan anggaran jualan yang dibuat oleh jabatan pemasaran

-          Jabatan pemasaran memberi maklumabalas pengguna dan jabatan pengeluaran menambahbaik kualiti dan rekabentuk perabot berdasarkan maklumat yang diterima

d. Huraikan jenis pengeluaran dan jenis susun atur  yang digunakan oleh kilang perabot ini. [10]

-          Jenis pengeluaran ialah pengeluaran secara massa iaitu menghasilkan produk yang standard dan barang yang yang mempunyai permintaan yang stabil. Kilang perabot ini menghasilkan kuantiti perabot yang banyak dan seragam

-          Jenis susun atur ialah susun atur produk iaitu penyusunan input seperti mesin dan pekerja mengikut tututan penghasilan perabot. Kilang ini mengeluarkan perabot dalam kuantiti yang banyak dan seragam. Susunan mesin dibuat dalam bentuk barisan untuk memudahkan pemasangan dan penghasilan perabot.


e. Mengapakah Datuk Sukiman berpuashati dengan lokasi kilang ini? [16]

Datuk Sukiman berpuashati dengan lokasi kilang ini kerana

1. Bekalan tenaga buruh. Bilangan tenaga buruh yang ramai dan murah dapat mengurangkan kos pengeluaran. Contohnya upah pekerja juga rendah berbanding di Selangor

2. Bekalan bahan mentah. Bekalan bahan mentah yang murah, banyak dan mudah didapati akan membantu pengeluaran berjalan lancar tanpa gangguan. Contohnya bekalan kayu yang banyak dan mudah diperoleh di Jerantut

3. Kemudahan pengangkutan. Lokasi kilang boleh dihubungi dengan mudah oleh pengangkutan agar bahan mentah, buruh dan produk siap dapat dipindahkan dengan segera. Contohnya:  Kilang ini mudah dihubungi kerana jarak dari lebuhraya Pantai Timur  ke Jerantut  di sekitar 60 km

4. Kemudahan prasarana. Lokasi kilang perlu dilengkapi dengan kemudahan prasarana seperti bekalan air yang dapat menjimatkan kos penyediaan produk dan kemudahan. Contohnya.  Ada kemudahan lengkap seperti bekalan air, elektrik dan telekomunikasi menyebabkan operasi kilang berjalan lancar.





Wednesday, June 25, 2014

PBS Pengajian Perniagaan 2014

Hai Pelajar,

1. Saya rasa anda sudahpun mengenalpasti jenis MNC yang hendak dikaji..

2. Pastikan MNC yang dipilih mempunyai menepati ciri-ciri  berikut :
    a.  25% daripada jumlah hasil diperoleh daripada operasi di negara lain
    b. dikawal  oleh pengurusan dari ibu pejabat
    c. mempunyai subsiadari/ anak syarikat/ cawangan di negara lain

3. Bolehkah kajian kes anda ditumpukan kepada Sony Malaysia? Tidak , kerana ia merupakan anak syarikat Sony corporation yang berpusat di Jepun. Syaratnya, anda perlu mengkaji syarikat induk dan bukannya anak syarikat di Malaysia

4. Cadangan cikgu ialah pilih syarikat multinasional yang tidak terlalu besar dan anda mampu memperoleh data yang diperlukan untuk menyiapkan  tugasan anda

5. Apakah perkara yang perlu ada dalam kerja kursus anda?

a. Tajuk:
Dalam tajuk anda perlu menyatakan nama MNC yang dikaji serta apa yang dikaji. Sila rujuk kepada soalan tugasan untuk membentuk tajuk tugasan anda.

Contohnya

Kajian Tentang Aktiviti Perniagaan, Pendekatan strategik  dan Konsep Perniagaan Antarabangsa yang diaplikasikan oleh Air Asia Berhad

b. Pendahuluan
Menyatakan apa yang dikaji iaitu pendekatan strategik, aktiviti perniagaan dan konsep perniagaan antarabangsa yang diamalkan oleh Air Asia Berhad

c. Abstrak 
iaitu ringkasan eksekutif tentang kajian anda. Anda perlu menjelaskan apa yang dikaji dan hasil
dapatan kajian anda secara ringkas dalam satu perenggan.

d. Objektif kajian
Objektif kajian menunjukkan apa yang anda ingin kaji
berkaitan dengan organisasi  tersebut. Objektif  kajian mestilah jelas.

    Contohnya
    i.   Mengenalpasti aktiviti perniagaan yang dijalankan
         oleh Air Asia Berhad
    ii.  Mengenalpasti pendekatan strategik yang digunakan
        oleh syarikat Air Asia Berhad
    iii. Mengenalpasti konsep perniagaan antarabangsa yang
        digunakan oleh Syarikat Air Asia Berhad

e.  Latar belakang kajian
     Perlu mmepunyai maklumat seperti sejarah penubuhan, aktiviti utama, anak syarikat
     atau operasi di luar,      prestasi kewangan, lokasi, struktur organisasi, pencapaian dan sebagainya

f. Kaedah kajian
   i. Kenalpasti kaedah kajian yang digunakan. Kajian ini sesuai dijalankan 
      dengan menggunakan data sekunder sahaja. Jika berkemapuan anda juga 
      boleh mendapatkan data primer.
  ii. Berikan justifikasi kenapa anda memilih kaedah kajian tersebut.
 iii. Jelaskan kelebihan kaedah tersebut
  iv. Jelaskan sumber yang  digunakan untuk mendapatkan maklumat. 
       Di antaranya laporan tahunan, keratan akhbar dan majalah, buku 
       yang ada rujukan atau bibliografi di belakang,  Laman web dan jurnal
  v. Nyatakan kegunaan data yang anda peroleh.
  vi. Pastikan anda mempunyai maklumat tentang dari mana data itu diperoleh. 
      Contohnya ada alamat url bahan yang dicari. 
      Misalnya Annual report Air Asia 2013  diperoleh dari       
       www.airasia.com/my/en/about-us/ir-annual-reports.page  
   vii. Anda juga perlu menyatakan tarikh bahan diterima
  viii. Definisi konsep perlu diambil dari buku rujukan yang sahih  
       yang ada senarai rujukan di belakang. Anda boleh merujuk kepada 
       buku berbahasa Inggeris seperti International Business dan Management


   Bahagian lain akan dibincang dalam sesi  berikutnya

   Teruskan usaha anda


   







kajian kes Pengajian Perniagaan - keusahawanan dan contoh jawapan

SYARIKAT MANJUNG SENDIRIAN BERHAD

Syarikat Manjung Sendirian Berhad merupakan sebuah syarikat  pengeluar pasu bunga terkenal di Sarikei, Sarawak.Hasil keuntungan syarikat ini adalah sebanyak RM76 juta  pada tahun 2013 setelah ditolak cukai syarikat sebanyak RM24 juta Syarikat ini diasaskan oleh Datuk Firdaus yang merupakan bekas guru sekolah. Setelah mengikuti kursus keusahawanan selama 6 bulan di sebuah agensi kerajaan, beliau telah mencagarkan rumahnya untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM100 000 sebagai modal perniagaan.  Beliau telah menggunakan kebolehannya dengan mencipta pelabagi bentuk pasu bunga yang baru dan juga mengubahsuai rekabentuk pasu bunga sedia ada untuk memenuhi citarasa pengguna yang sentiasa berubah. Walaupun pada peringkat permulaannya  hasil jualan kurang memberangsangkan, pelbagai usaha yang diambil beliau menyebabkan syarikat ini berkembang  sehingga menjadi syarikat pasu bunga yangterkenal  di Sarawak.

Syarikat Manjung mempunyai 140 orang pekerja yang kebanyakannya merupakan penduduk sekitar Sarikei, Sarawak. Sumber bahan mentah pula diperoleh daripada pembekal tanah liat di seluruh negeri Sarawak dan sebahagian besar diperoleh di  sekitar Sarikei. Anak tempatan Sarikei ini memang dikenali umum di Sarawak dan ramai usahawan telah mengikuti jejak Datuk Firdaus untuk menjalankan perniagaan yang sama dan mendapat bimbingan beliau.  Datuk Firdaus juga banyak membantu anak muda tempatan dengan menyediakan pusat latihan, memberi derma kepada surau dan masjid di sekitar Sarikei dan juga sumbangan untuk pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam sekolah.

Kejayaan  Datuk Firdaus boleh dikaitkan dengan amalan beliau . Datuk Firdaus  berminat membaca pelbagai buku berkaitan dengan motivasi dan pengurusan. Beliau bertekad untuk membaca sekurang-kurangnya empat buku setiap minggu. Datuk Firdaus juga mempunyai diari untuk merekodkan tugas yang perlu dilakukan setiap hari. Setiap tahun , Datuk Firdaus akan menetapkan target pencapaian syarikat dan memastikan semua pekerja syarikat berusaha kearah pencapaian matlamat tersebut. Datuk Firdaus juga disanjungi oleh semua pekerja kerana berusaha untuk memahami masalah yang mereka hadapi dan kurang memberi tekanan untuk menyelesaikan sesuatu tugas.

Berdasarkan kes di atas, jawab soalan berikut:

a. Huraikan ciri-ciri keusahawanan yang dimiliki oleh Datuk Firdaus (16 markah)

Ciri
Definisi
Contoh daripada kes
Berani menanggung risiko


Kreatif

Beliau telah menggunakan kebolehannya dengan mencipta pelabagi bentuk pasu bunga yang baru
Inovatif

mengubahsuai rekabentuk pasu bunga sedia ada untuk memenuhi citarasa pengguna yang sentiasa berubah
Mempunyai inisiatif yang tinggi




b. Huraikan peranan yang dimainkan oleh Datuk Firdaus sebagai seorang usahawan  (20 markah)

Peranan
Definisi
Kaitan dengan kes
Menyediakan peluang pekerjaan

Syarikat Manjung mempunyai 140 orang pekerja yang kebanyakannya merupakan penduduk sekitar Sarikei, Sarawak
Menjadi model ikutan masyarakat


Meningkatkan pendapatan negara


Menggunakan sumber tempatan

Sumber bahan mentah pula diperoleh daripada pembekal tanah liat di seluruh negeri Sarawak dan sebahagian besar diperoleh di  sekitar Sarikei
Menjalankan tanggungjawab sosial




c. Huraikan ciri-ciri efektif yang dimiliki oleh Datuk Firdaus  (16 markah)

Ciri
Definisi
Kaitan dengan kes
Tajamkan gergaji


Memahami sebelum difahami


Mulakan dengan mengingati  matlamat


Lakukan perkara yang utama dahulu
Memberi kutamaan kepada perkara yang perlu dilakukan dahulu
Datuk Firdaus juga mempunyai diari untuk merekodkan tugas yang perlu dilakukan setiap hari





Sunday, June 15, 2014

PBS PENGAJIAN PERNIAGAAN 2014

Sudahkah anda membaca soalan kerja kursus PP PBS 2014?

Soalan memerlukan anda memilih sebuah syarikat Multinasional dan bincangkan aktiviti perniagaan serta konsep perniagaan antarabangsa yang digunakan dalam syarikat tersebut.


Langkah pertama ialah pengumpulan bahan.

Anda perlu mencari sebuah MNC. MNC bermaksud syarikat tempatan yang mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan atau subsiadiri di negara lain.

Antara MNC di Malaysia ialah

a. Institusi kewangan- CIMB, Maybank, Public Bank

b. Penerbangan- Airasia

c. Perladangan- Simedarby

d. Francais-Secret recipe,Bangikopitiam

Pilih syarikat yang yang mudah mendapat maklumat agar, anda tidak menghadapi masalah semasa menjalankan kajian.Misalnya ada banyak bahan tentang Airasia berbanding dengan Simedarby.

Pastikan sumber maklumat yang pelbagai seperti keratan akhbar, buku, majalah, laman web dan laporan tahunan.

Laporan Tahunan syarikat ialah sumber lengkap sesebuah syarikat yang mengandungi maklumat terkini aktiviti perniagaan dan kedudukan kewangan.  Anda boleh mendapatkan laporan tahunan dari lamanweb syarkat berkenaan atau daripada bursa malaysia secara percuma.
Contohnya untuk syarikat Airasia anda boleh melayari laman  web www.airasia.com/‎ atau di 
klse.i3investor.com



FORMAT BARU PENGAJIAN PERNIAGAAN STPM 2015

Hai students,

Format Baru Pengajian Perniagaan mulai STPM 2015.

Waktu Peperiksaan bertambah sebanyak 15 minit. Waktu peperiksaan sekarang ialah 1 jam 45 minit.

Untuk Bahagian B, soalan panjang ada pilihan. Pelajar boleh menjawab mana-mana satu daripada dua soalan yang diberikan.