Tuesday, April 2, 2013

Kajian kes Etika


Syarikat Maju Berhad adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam pembuatan barangan plastik. Ia beroperasi sejak tahun 1980 di pekan Chepor, Perak. Pekan ini terletak di luar bandar yang penduduknya tidak padat. Pekan yang terdekat terletak 40km dari syarikat tersebut. Perjalanan perniagaan syarikat ini pada mulanya adalah baik. Terdapat seramai 50 orang pekerja bekerja di syarikat ini. Pada tahun 2002, En. Ali Hassan telah dilantik sebagai pengurus syarikat oleh Ahli Lembaga Pengarah untuk menggantikan En. Abu Bakar yang telah bersara.

Sejak ketibaan En. Ali Hassan segala urusan syarikat ini telah berubah. Pengurusan syarikat dikuasai sepenuhnya oleh beliau. Pekerja-pekerja mula berasa tidak puas hati disebabkan segala kebajikan yang sedia ada untuk pekerja telah dikurangkan. Pengerusi Kesatuan Sekerja syarikat ini telah menerima banyak rungutan daripada pekerja tentang ketidakpuasan mereka. Pekerja mula berhenti kerja sehingga menjejaskan operasi syarikat. En. Ali Hassan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pekerja baru. Malangnya usahanya gagal.

Selain itu keadaan tempat kerja yang tidak teratur dan kotor sehingga sering menyebabkan berlakunya kemalangan kepada pekerja. 25 orang pekerja telah mengalami kecederaan. Pekerja yang sakit tidak dibenarkan mengambil cuti. Pada bulan yang lepas, setelah menerima laporan daripada Kesatuan Sekerja syarikat tersebut, pegawai dari Jabatan Buruh Perak telah melawat ke syarikat ini dan mendapati bahawa aspek-aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah diabaikan. En. Ali Hassan telah diarahkan untuk memberhentikan operasi syarikat buat sementara waktu setelah beberapa kali amaran diberi oleh pegawai dari Jabatan Buruh Perak itu. Segala tempahan yang telah diterima terpaksa dibatalkan. Ini telah menyebabkan pendapatan syarikat merosot sebanyak 40% berbanding tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, En. Ali Hassan juga telah disaman oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana telah berhenti membuat caruman untuk pekerjanya. Tambahan pula syarikat ini sering melakukan kesalahan alam sekitar seperti menyalurkan bahan kimia berlebihan ke dalam sungai yang berhampiran.

Baru-baru ini dalam sesi temubual bersama wartawan dari TV3, En. Ali Hassan telah membuat kenyataan berkaitan prestasi syarikatnya. “Untuk meningkatkan keuntungan, syarikat perlu memikirkan cara-cara mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan jualan dan memaksa pekerja bekerja bagi mencapai objektif organisasi. Masyarakat tidak mempunyai hak memaksa syarikat saya menyumbangkan derma kerana syarikat saya bukan organisasi kebajikan masyarakat.”




Soalan

1.     Apakah isu-isu etika perniagaan yang wujud di Syarikat Maju Berhad?

2.     Bincangkan prestasi sosial syarikat korporat ini.

3.     Pada pendapat anda bagaimana syarikat berkenaan boleh menangani masalah ini.

1 comment :

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete