Thursday, October 22, 2015

Kajian kes Pengajian Perniagaan STPM Penggal 3 Perniagaan antarabangsa - Syarikat Multi nasional , Cabaran MNC , strategi, konsep perniagaan antarabangsa : Syarikat Lenovo

Lenovo Group Limited

Lenovo Group Limited (LGL) merupakan sebuah syarikat milik negara China yang beroperasi di 60 buah negara dan produk syarikat ini dipasarkan di hampir 160 buah negara. Pada tahun 2014, Lenovo merupakan pengeluar terbesar di dunia untuk komputer peribadi. Hampir 45 % pendapatan syarikat ini diperoleh daripada operasi di luar negara.

Pada tahun 2004, LGL telah membeli  unit PC-ThinkPad IBM dan seterusnya menjadi pemegang saham utama MEDION di Jerman CEE di Brazil. Untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran antarabangsa, LGL telah memilih untuk melabur di negara seperti Brazil dan Rusia yang mencatat kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi yang dianggap pasaran yang paling sesuai untuk Lenovo. LGL juga telah menjadi rakan kongsi dalam syarikat teknologi Jepun iaitu NEC dan EMC di Amerika Syarikat . Perjanjian dengan NEC adalah penting untuk menjadi lebih berdaya saing dalam pasaran Jepun. EMC merupakan firma teknologi penyimpanan yang berpangkalan di Amerika yang giat menjalankan R&D dalam teknologi penyimpanan. Lenovo memegang lebih daripada 50 peratus saham EMC dan ini memberi peluang kepada Lenovo untuk akses kepada inovasi dan ciptaan baru.
Lenovo sentiasa berusaha untuk menyesuaikan produk mereka ke pasaran tempatan, yang merupakan sebahagian daripada strategi teras mereka. Mewujudkan kilang pengeluaran baru di negara-negara mereka beroperasi dan dengan itu mewujudkan rantaian bekalan hibrid berasaskan pengeluaran  tempatan. Berbanding dengan syarikat Multinasional milik Jerman dan Amerika Syarikat,  Lenovo menggajikan lebih ramai penduduk tempatan sebagai eksekutif. Ini dapat mengurangkan jurang budaya dan seterusnya mengukuhkan kedudukan Lenovo di pasaran antarabangsa. Pengurusan Lenovo berpendapat, diversiti budaya dalam organisasi amat penting untuk Lenovo menghadapi persaingan di peringkat antarabangsa.

Lenovo juga menghadapi pelbagai rintangan dan masalah apabila memasuki perniagaan antarabangsa. Ekonomi global yang tidak menentu memberi kesan kepada prastasi  syarikat ini. Pada tahun 2015, LGL terpaksa mengurangkan kos operasi sebanyak USD650 juta dan memberhentikan hampir 5% daripada jumlah pekerjanya. Pengambilalihan IBM oleh Lenovo pula menyebabkan Tentera Laut Amerika bercadang untuk menghentikan penggunaan komputer IBM dalam operasinya disebabkan risiko keselamatan. Lenovo masih mengadakan perbincangan dengan kerajaan Amerika berkaitan dengan isu ini. Lenovo juga menghadapi masalah dengan subsiadiari di luar negara yang mempunyai latarbelakang budaya yang berbeza. Misalnya pekerja di Amerika suka mencelah dan memberi pendapat semasa perbincangan dan ini berbeza dengan budaya orang cina yang suka mendengar sampai habis sebelum memberi pendapat. Kawalan menjadi semakin rumit disebabkan faktor jarak dan komunikasi. Misalnya jarak  antara ibu pejabat di China dan New York mengambil masa 12 jam perjalanan dan merentasi 12 zon masa. Adalah sukar untuk mengadakan perbincangan atau mesyuarat tanpa perancangan teliti kerana kekangan ini. Tambahan pula, Lenovo menghadapi masalah untuk menggabungkan pegawai dari Eropah dan Amerika untuk perbincangan bersama kerana masalah jarak.

Sebagai syarikat global, LGL perlu peka terhadap persekitaran luaran yang dihadapi agar terus kekal sebagai syarikat yang berjaya menguasai pasaran IT dunia.


Soalan
a.     Adakah LGL merupakan sebuah syarikat multinasional? Jelaskan.     [5]

b.    Huraikan dua strategi memasuki perniagaan antarabangsa yang telah dilaksanakan oleh LGL.  [10]

c.     Huraikan tiga konsep perniagaan antarabangsa dalam kes di atas. [12]


d.    Huraikan empat cabaran yang dihadapi oleh LGL [16]

1 comment :