Thursday, October 22, 2015

Kajian Kes Pengajian Perniagaan STPM Penggal 3 - Perniagaan Antarabangsa Syarikat Segaria Berhad

Syarikat Segaria Berhad

Syarikat Segaria Berhad (SSB) merupakan pengeluar pelbagai jenis minuman ringan di Malaysia sejak tahun 1999.Pada peringkat permulaan , SSB merupakan ejen tunggal di Malaysia untuk beberapa syarikat Jepun untuk memasarkan pelbagai jenis makanan dan minuman ringan  buatan Jepun. Gudang milik SSB di Pelabuhan Klang dijadikan pusat penyetoran apabila barangan sampai dari negara Jepun dan diedarkan ke pasar raya di seluruh negara. Pada tahun 2001, SSB membuka kilang minuman ringannya sendiri dengan jenama Segaria di Shah Alam. Produk syarikat ini mula dipasarkan  di luar negara pada tahun 2002 dengan jenama Sensi. . Kini hampir 60% produk keluaran syarikat ini dipasarkan di luar negara termasuklah Korea Selatan, Jepun, India, Thailand dan Brunei. Disebabkan kilang SSB  tidak mampu  menampung permintaan semasa, SSB telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat di Bandung , Indonesia iaitu PT Budiyanto pada tahun 2006 untuk mengeluarkan minuman Sensi yang akan dibeli semula oleh SSB sebelum dipasarkan ke negara lain. Penubuhan syarikat SS Joypul Trading di negara Filipina  pada tahun 2009, merupakan hasil kerjasama antara SSB dengan Joypul Trading  milik warga Filipina. SS Joypul Trading mengeluarkan dan memasarkan minuman Sensi untuk pasaran Filipina.

Kejayaan SSB menembusi pasaran luar negara adalah hasil kerjasama dengan MATRADE iaitu sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membangunkan industri eksport Malaysia.SSB sering menghadiri ekspo yang dianjurkan oleh MATRADE untuk pengeksport Malaysia. Penyertaan dalam ekspo seperti Gulfood, Foodex dan Finefood memberi peluang kepada SSB untuk bertemu dengan bakal pembeli di negara asia timur, Jepun dan Australia. SSB juga dapat memahami kehendak dan citarasa pengguna negara berkenaan dan dapat menyesuaikan produk mengikut keperluan pasaran berkenaan. Penyertaan di Gulfood membolehkan SSB memeterai  perjanjian dengan  sebuah rangkaian pasar raya di Arab Emirates Bersatu (UAE) untuk bekalan produk bernilai USD60 juta setahun. Kejayaan memasuki pasaran UAE juga disumbangkan oleh penyertaan syarikat ini dalam program latihan anjuran MATRADE iaitu bengkel berkaitan berniaga di UAE di Johor Bahru pada tahun 2010.

SSB juga bergantung kepada maklumat pasaran yang disampaikan oleh Matrade. Maklumat dagangan diperoleh oleh MATRADE melalui pejabat cawangan di seluruh dunia meliputi  statistik dagangan, kajian pasaran tentang produk dan perkhidmatan, direktori perdagangan serta garis panduan bantuan dan geran. SSB telah mendapat tender untuk bekalan barang  di sebuah negara Asia Timur melalui maklumat notis tender antarabangsa yang diperoleh di laman web rasmi MATRADE.   Disebabkan persaingan sengit dalam industri minuman ringan, SSB menghadapi pelbagai rintangan seperti kekurangan modal dan kepakaran pemasaran. Program Go-Ex anjuran MATRADE membuka peluang kepada SSB untuk memasuki pasaran baru seperti  Turki dan United Kingdom. Program ini menyediakan khidmat pakar berkaitan dengan pemasaran dan melalui khidmat pakar ini SSB sedang berunding dengan dua buah syarikat di United Kingdom untuk mengeluarkan dan memasarkan produk Segaria di negara berkenaan. Penyertaan SSB di pasaran antarabangsa bukanlah mudah kerana pelbagai masalah dan kekangan perlu dihadapi oleh syarikat ini. Walau bagaimanapun khidmat help desk yang disediakan oleh MATRADE amat membantu SSB untuk mendapatkan nasihat dan rujukan. Misalnya penghantaran barang ke negara Syria yang terganggu kerana keadaan politik yang tidak stabil dapat diselesaikan melalui khidmat nasihat yang diberikan oleh pegawai MATRADE yang dapat mengurangkan risiko kerugian yang besar.

a.     Huraikan strategi SSB memasuki perniagaan antarabangsa. [16]

Strategi SSB memasuki perniagaan antarabangsa ialah

Import . Import bermaksud membeli barang dan perkhidmatan   dari negara asing untuk pasaran tempatan. Dalam kes di atas,  SSB terlibat dalam aktiviti import iaitu  SSB merupakan ejen tunggal di Malaysia untuk beberapa syarikat Jepun untuk memasarkan pelbagai jenis makanan dan minuman ringan  buatan Jepun.

Eksport iaitu aktiviti menjual  barang dan perkhidmatan ke pasaran asing. Dalam kes di atas, SSB terlibat dalam aktiviti eksport iaitu pada tahun 2001, SSB membuka kilang minuman ringannya sendiri dengan jenama Segaria di Shah Alam. Produk syarikat ini mula dipasarkan  di luar negara pada tahun 2002 dengan jenama Sensi. . Kini hampir 60% produk keluaran syarikat ini dipasarkan di luar negara termasuklah Korea Selatan, Jepun, India, Thailand dan Brunei.

Kontrak pengeluaran iaitu  kebenaran kpd syarikat asing mengeluarkan dan memasarkan barang. Dalam kes di atas SSB telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat di Bandung , Indonesia iaitu PT Budiyanto pada tahun 2006 untuk mengeluarkan minuman Sensi yang akan dibeli semula oleh SSB sebelum dipasarkan ke negara lain

Usahasama iaitu  kerjasama antara dua atau lebih syarikat  utk mengeluarkan atau memasarkan barang di pasaran asing. Dalam kes di atas,  Penubuhan syarikat SS Joypul Trading di negara Filipina  pada tahun 2009, merupakan hasil kerjasama antara SSB dengan Joypul Trading  milik warga Filipina. SS Joypul Trading mengeluarkan dan memasarkan minuman Sensi untuk pasaran Filipina.

b.    Huraikan peranan MATRADE dalam membangunkan pasaran antarabangsa untuk produk SSB [12]

Peranan MATRADE dalam membangunkan pasaran antarabangsa untuk produk SSB

Peranan pertama ialah untuk mempromosi, membantu dan membangunkan perdagangan luar Malaysia .
Kaitan kes
SSB sering menghadiri ekspo yang dianjurkan oleh MATRADE untuk pengeksport Malaysia. Penyertaan dalam ekspo seperti Gulfood, Foodex dan Finefood memberi peluang kepada SSB untuk bertemu dengan bakal pembeli di negara asia timur, Jepun dan Australia. SSB juga dapat memahami kehendak dan citarasa pengguna negara berkenaan dan dapat menyesuaikan produk mengikut keperluan pasaran berkenaan. Penyertaan di Gulfood membolehkan SSB memeterai  perjanjian dengan  sebuah rangkaian pasar raya di Arab Emirates Bersatu (UAE) untuk bekalan produk bernilai USD60 juta setahun

Peranan kedua ialah untuk menjalankan perisikan komersial /penyelidikan pasaran /pangkalan data komprehensif .
Kaitan kes
SSB juga bergantung kepada maklumat pasaran yang disampaikan oleh Matrade. Maklumat dagangan diperoleh oleh MATRADE melalui pejabat cawangan di seluruh dunia meliputi  statistik dagangan, kajian pasaran tentang produk dan perkhidmatan, direktori perdagangan serta garis panduan bantuan dan geran. SSB telah mendapat tender untuk bekalan barang  di sebuah negara Asia Timur melalui maklumat notis tender antarabangsa yang diperoleh di laman web rasmi MATRADE.   

Peranan ketiga ialah untuk mengelolakan program-program latihan
Kaitan kes
Kejayaan memasuki pasaran UAE juga disumbangkan oleh penyertaan syarikat ini dalam program latihan anjuran MATRADE iaitu bengkel berkaitan berniaga di UAE di Johor Bahru pada tahun 2010.

Peranan keempat ialah untuk meningkatkan dan melindungi kepentingan perdagangan antarabangsa Malaysia
Kaitan kes
Walau bagaimanapun khidmat help desk yang disediakan oleh MATRADE amat membantu SSB untuk mendapatkan nasihat dan rujukan. Misalnya penghantaran barang ke negara Syria yang terganggu kerana keadaan politik yang tidak stabil dapat diselesaikan melalui khidmat nasihat yang diberikan oleh pegawai MATRADE yang dapat mengurangkan risiko kerugian yang besar





No comments :

Post a Comment