Thursday, October 22, 2015

Kajian kes Pengajian Perniagaan STPM Penggal 3 - Etika Perniagaan Syarikat Ajinomoto (Malaysia) Berhad

AJINOMOTO (MALAYSIA) BERHAD

Ajinomoto (Malaysia) Berhad memulakan perniagaannya tahun 1961 sebagai pengeluar AJI-NO-MOTO® Monosodium Glutamat. Ia merupakan antara syarikat usahasama Jepun yang paling awal ditubuhkan di Negara ini. Semenjak itu, AJINOMOTO Malaysia berhad mula berkembang menjadi pengeluar perasa makanan yang dinamik yang memasarkan pelbagai jenama yang dipercayai oleh rakyat Malaysia selama beberapa dekad. Penambah perisa AJINOMOTO keluaran syarikat ini merupakan bahan wajib di hampir setiap rumah rakyat Malaysia.  Syarikat ini sentiasa memastikan hubungan baik dengan pihak berkepentingannya agar produk syarikat ini sentiasa mendapat sambutan di kalangan rakyat Malaysia. Ajinomoto sentiasa mengambil kira citarasa dan kehendak pengguna tempatan dengan memperkenalkan produk baru seperti Palsweet  pada tahun 1989 dan aji- mix pada tahun 1994 dan seterusnya seri aji pada tahun 1996. Produk syarikat ini menerima anugerah sijil Halal pada tahun 1965 dan seterusnya persijilan ISO 9001 daripada SIRIM pada tahun 1998.

Ajinomoto telah bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam Program Ajinomoto International Cooperation Network for Nutrition and Health (AIN).Tujuan program ini adalah untuk memperkuatkan kaum wanita Orang Asli yang tinggal di Rizab Hidupan Liar Krau (KWR) di daerah Temerloh dan Jerantut, Pahang, dengan pengetahuan tentang kesihatan dan khasiat dan menjadikan mereka sebagai LRI (Individu Sumber Tempatan) untuk mengurangkan kematian kanak-kanak dan pemakanan tidak seimbang di peringkat awal kanak-kanak. Kilang  Ajinomoto (Malaysia) Berhad juga dibuka untuk lawatan oleh orang awam sejak 1981, untuk menunjukkan kepada mereka komitmen syarikat ini terhadap keselamatan makanan dan kesihatan. Pusat informasi dan pameran yang dikenali sebagai Infoseum 1909 ini ditubuhkan untuk mendidik dan berkongsi fakta tentang Umami kepada masyarakat umum. Sejak tahun 2006, syarikat Ajinomoto telah menganjurkan kelas Kulinari yang memberi peluang kepada orang ramai mempelajari pelbagai resipi lazat, petua kesihatan dan kemahiran memasak. Syarikat ini juga dengan kerjasama  akhbar Harian Metro dalam Program Titipan Kasih 2013  telah menyumbang keperluan harian dan meluangkan masa untuk masyarakat Melayu yang miskin semasa bulan Ramadan. Yayasan Biasiswa Ajinomoto telah dilancar untuk menyediakan biasiswa kepada para pelajar cemerlang untuk belajar di peringkat Sarjana di Universiti Tokyo, Jepun dengan sokongan kewangan penuh selama tiga tahun. Selain itu, anugerah tahunan akan juga diberikan kepada para pelajar dengan pencapaian akademik yang cemerlang di pusat pengajian tinggi tempatan.

Sebagai usaha pembangunan modal insan, Syarikat Ajinomoto mewujudkan siri program latihan luaran dan dalaman yang khusus dengan tumpuan terhadap kecekapan kepimpinan, kecekapan fungsi, keberkesanan peribadi dan pembinaan semangat berpasukan, bagi membangunkan bakat individu menjadi pemimpin yang berkuasa yang berupaya menangani perubahan dan cabaran global yang kerap dengan yakin.

Ajinomoto (Malaysia) Berhad telah menubuhkan satu seksyen yang dipanggil “SALAM” untuk menguruskan isu berkaitan persekitaran terutamanya sisa buangan daripada proses dan sisa lain yang dihasilkan daripada operasi.”SALAM” sebenarnya adalah ringkasan perkataan  “Sistem Ajinomoto Lindungi Alam Malaysia” yang menumpukan pada aspek mengawal persekitaran bagi memastikan impak yang besar terhadap persekitaran dikurangkan atau dalam lingkungan syarat perundangan. Syarikat ini komited sepenuhnya terhadap perlindungan dan pemeliharaan persekitaran. Ajinomoto merupakan syarikat yang pertama di Asia Tenggara yang membina loji rawatan buangan yang amat maju dan mematuhi sepenuhnya Peraturan Kumbahan dan Efluen Perindustrian  1979 bagi merawat efluen yang diproses, terutama untuk Permintaan Oksigen Secara Kimia (COD) dan Permintaan Oksigen Secara Biokimia (BOD), sebelum melepaskannya ke sungai. Semua sisa pepejal seperti logam, plastik, tin aluminium, kertas, enap cemar pejal daripada rawatan efluen dan sebagainya yang digunakan/hasilkan diasingkan dan dikitar semula sebagai sebahagian daripada sumbangan syarikat ini  untuk mengurangkan impak alam sekitar. Kempen Kesedaran “Smiles Earth” adalah antara Aktiviti Warga Global yang dimulakan oleh Kumpulan Ajinomoto untuk mengurangkan kesan buruk terhadap persekitaran global dan ekosistem tempatan.  Dalam kempen ini, semua ahli Ajinomoto (Malaysia) Berhad akan bekerjasama memberi sumbangan terbaik untuk memastikan alam sekitar terpelihara untuk generasi akan datang. Konsep dan Amalan 3R dipromosikan secara menyeluruh di setiap peringkat syarikat  ini bagi mengurangkan lagi impak kepada alam sekitar. Ajinomoto juga sentiasa menaiktarafkan dan meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan pekerja melalui pendidikan dan latihan yang berterusan.



a.     Huraikan tanggungjawab social Ajinomoto (Malaysia)  Berhad kepada  pihak berkepentingannya  (12)
b.    Huraikan komitmen warga korporat Ajinomoto (Malaysia) Berhad  terhadap persekitaran jangkapanjang (10)



No comments :

Post a Comment