Thursday, October 22, 2015

Kajian Kes Pengajian Perniagaan Penggal 3 STPM Etika Perniagaan - Syarikat Astro Berhad




Kajian kes
Astro Malaysia Holdings Berhad

Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) adalah kumpulan media hiburan bersepadu pengguna yang terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara, yang memberi tumpuan kepada menonton, mendengar, membaca dan bermain. Astro  menawarkan 171 saluran TV, termasuk 68 saluran yang dihasilkan dengan jenama Astro dan 39 saluran HD, kepada 3.9 juta pelanggan, merangkumi 56% daripada isi rumah TV Malaysia. Selain daripada mengumpulkan program-program antarabangsa yang terbaik, Astro juga  menghasilkan lebih 9,000 jam kandungan setiap tahun merangkumi keseluruhan genre, yang diedarkan di platform Astro, dan juga dilesenkan kepada kedua-dua platform domestik dan serantau. Astro memberi komitmen yang tinggi kepada pelaksanaan tanggungjawab social kepada pihak berkepentingannya.

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Astro  untuk memberikan produk dan perkhidmatan yang terbaik dalam kelasnya, syarikat ini sentiasa berhubung dengan pelanggannya melalui pelbagai saluran untuk memahami maklum balas, profil dan tingkah laku pelanggan; dan menggunakan apa yang dipelajari di dalam organisasi untuk memacu penambahbaikan. Astro untuk menjadi peneraju industri dalam menyampaikan pengalaman pelanggan yang luar biasa dalam seluruh produk dan perkhidmatannya. Astro terus berusaha untuk menghasilkan peningkatan modal dan pembayaran dividen tunai yang progresif kepada pemegang sahamnya. Sejak penyenaraiannya pada bulan Oktober 2012, syarikat ini  telah memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan membayar dividen berjumlah lebih RM675 juta. Syarikat ini  sentiasa memastikan penyebaran maklumat yang adil dan tepat pada masanya. Astro memupuk saluran komunikasi terbuka antara pasukan pengurusan kanan dan pelabur serta penganalisis penyelidikan untuk memastikan mereka sedia maklum mengenai perkembangan terkini dalam perniagaannya.

Astro memanfaatkan liputan yang meluas di seluruh negara  dengan memperkenalkan NJOI, iaitu langganan TV percuma untuk semua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang tinggal di bahagian pedalaman negara. Sehingga kini, penembusan NJOI syarikat Astro meliputi lebih 6% daripada isi rumah di Malaysia yang kurang  bernasib baik. Melalui program kampus Astro, syarikat ini telah menyediakan  lebih 700 jam program pembelajaran televisyen yang kini menawarkan rancangan pelajaran daripada 400,000 guru bagi membantu hampir 5.3 juta pelajar dalam bidang akademik Di bawah program Astro Hostel, syarikat ini telah membina tiga buah asrama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif kepada ratusan kanak-kanak lelaki dan perempuan, yang kebiasaannya akan terpaksa berjalan kaki berjam-jam untuk pergi dan balik dari sekolah setiap hari.

Kejayaan Astro pada dasarnya didorong oleh lebih 4,700 bakat yang dianggap aset Astro yang paling berharga. Dengan 48% daripada tenaga kerja Astro berusia antara 21 hingga 30 tahun syarikat ini ingin menjadi majikan pilihan, dengan membina persekitaran yang menggilap bakat dan menjana yang terbaik daripadanya., Astro juga turut berbangga dengan kedudukannya di antara 100 Majikan Siswazah Terkemuka, yang telah meningkat daripada anak tangga yang ke-25 pada tahun 2012 ke anak tangga yang ke-17 pada tahun 2013, dan menjadi pilihan utama dalam sektor Media dan Penyiaran. Pada tahun 2013, Astro telah menyediakan lebih 93,000 jam pembelajaran untuk pembangunan pemimpin muda, pembangunan kemahiran insani dan fungsian, serta latihan keselamatan pekerjaan yang merentasi semua peringkat. Astro beroperasi dengan satu sistem pengurusan keselamatan pekerjaan, kesihatan dan alam sekitar secara dalaman yang mematuhi standard antarabangsa OSHAS18001 dan ISO14001. Astro juga menyediakan pengangkutan seperti perkhidmatan bas untuk memudahkan perjalanan ke pejabat serta perkhidmatan teksi untuk kakitangan syif. Bangunan Astro adalah zon larangan merokok tetapi terdapat ruang yang dikhaskan untuk merokok di luar kawasan bagi memastikan bahawa bangunan Astro kekal bebas daripada merokok. Surau lelaki dan perempuan juga tersedia di tingkat bawah.

Astro mempunyai amalan dan piawaian yang vendor, kontraktor dan pembekal perlu lakukan dalam urusan mereka dengan syarikat ini. Piawaian ini meliputi perkara seperti etika perniagaan, penyimpanan rekod, pembayaran yang boleh dipersoalkan, konflik kepentingan, urusan dengan kepentingan perniagaan atau hubungan di luar syarikat, maklumat sulit, hadiah dan hiburan dan gangguan. Astro mengharapkan  pembekalnya mempunyai pelan kesinambungan perniagaan yang mantap untuk memastikan gangguan yang minimum dalam membekal barangan dan perkhidmatan mereka serta juga untuk mematuhi panduan Perolehan Mengutamakan Alam Sekitar (“EPP”) dengan menggunakan bahan mampan apabila ianya adalah kos efektif.

Atas khidmat tanggungjawab social cemerlang yang dilaksanakan oleh Astro, pada tahun 2013, syarikat ini telah  mendapat pengiktirafan dengan menerima beberapa anugerah termasuk Anugerah Pemimpin Perniagaan Asia CNBC bagi Tanggungjawab Sosial Korporat dan Anugerah Perniagaan ASEAN untuk Perusahaan Yang Paling Dikagumi dalam kategori Tanggungjawab Korporat (Syarikat Besar).


a.     Terangkan tanggungjawab social yang telah dilaksanakan oleh syarikat Astro kepada pihak berkepentingannya. [16]
b.    Pada pendapat anda, apakah manfaat yang boleh dinikmati oleh syarikat Astro daripada perlaksanaan tanggungjawab social?



1 comment :

  1. Hi sir where's the answer for this question? Can you help me with it? Thank you

    ReplyDelete