Wednesday, May 4, 2016

Kajian kes pengajian perniagaan - McDonald's - pengurusan

  • Kes ini berkaitan dengan restoren francais makanan segera
  • Isu utama yang dikaji ialah aplikasi teori Maslow dalam memotivasikan pekerja serta kaedah kawalan yang digunakan.
  • Soalan ini memerlukan fakta khusus dan fakta kes
  • Kajian kes ini merupakan soalan percubaan Pengajian Perniagaan Penang Free School

MCDONALD’S MALAYSIA

McDonald’s merupakan satu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. McDonald’s mempunyai lebih 33,000 restoran di 119 buah negara termasuk Malaysia. Di Malaysia, McDonald’s mempunyai 270 restoran di seluruh Malaysia dan dijangka berkembang dengan kadar 15 hingga 20 restoran baharu pada setiap tahun. Kejayaan McDonald’s Malaysia banyak dibantu oleh keprihatinan pengurusan atasan menjaga kebajikan pekerja-pekerjanya. Pihak syarikat percaya jika kebajikan pekerja dijaga dengan baik, ia akan meningkatkan motivasi dan produktiviti pekerja. Sebagai langkah keselamatan dan jaminan, gaji yang diterima oleh pekerja akan dipotong untuk dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO. Ini dapat membantu pekerja menyimpan bekalan untuk hari tua dan dilindungi sekiranya mengalami kemalangan ketika bertugas. Syarikat juga memastikan pekerja-pekerja mendapat tempat kerja yang bersih dan selesa. Bilik persalinan, loker dan surau disediakan untuk kemudahan dan keselesaan pekerja. Syarikat turut menghargai pekerja- pekerja yang rajin dan berdisiplin. Pekerja-pekerja yang layak akan dipromosi untuk menyandang jawatan yang lebih tinggi dan memperkenalkan anugerah bulanan untuk Krew Terbaik. Pekerja- pekerja turut menikmati kemudahan cuti tahunan dan perubatan percuma di klinik-klinik terpilih. McDonald’s Malaysia amat menitikberatkan penghasilan produk makanan yang berkualiti, bersih dan halal. Sehubungan itu, syarikat sentiasa berusaha mendapatkan kerjasama dan pengiktirafan daripada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, antaranya pengiktirafan sijil Halal daripada JAKIM serta mematuhi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Syarikat juga berkerjasama dengan JAKIM menubuhkan Pasukan Syariah Dalaman untuk urusan pemantauan dan mendapatkan khidmat Penasihat Bebas Halal bagi memantau proses penyembelihan. Syarikat juga memberi penekanan terhadap kawalan bahan mentah, pekerja dan tempat penyediaan makanan. Syarikat memastikan hanya bahan mentah yang segar digunakan dan diperolehi hanya daripada pembekal yang diiktiraf oleh JAKIM. Pemeriksaan kualiti dilakukan terhadap bahan mentah sebaik sahaja diterima daripada pihak pembekal dan selepas itu, bahan mentah tersebut akan disimpan dalam peti penyejuk beku mengikut keperluan suhu tertentu. Sebelum proses penyediaan makanan dilakukan, tempat penyediaan makanan dipastikan dalam keadaan yang bersih dan selamat. Tempat tersebut mesti mempunyai sinki khas untuk membasuh tangan dan dilengkapi dengan sabun, air paip dan tisu. Setiap pekerja diwajibkan mengambil suntikan imunisasi tifoid dan dipastikan dalam keadaan cukup sihat sebelum terlibat dalam proses penyediaan makanan. Selain itu, mereka juga diwajibkan mencuci tangan dengan bahan pembasmi kuman dan memakai sarung tangan pakai buang bagi menjamin kebersihan makanan yang dikendalikan. McDonald’s Malaysia amat komited dalam menjaga kualiti, kebersihan dan segalanya untuk memastikan pelanggan restoran McDonald’s mendapat yang terbaik. (Disesuaikan daripada artikel “Pematuhan Piawaian Untuk Keselamatan Makanan dan Proses Halal McDonald’s Adalah Yang Terbaik)
Berdasarkan kes di atas,

(a) Jelaskan tindakan McDonald’s Malaysia untuk memenuhi keperluan pekerja-pekerjanya berdasarkan Teori Motivasi Maslow. [10]    FAKTA KHUSUS
(b) Terangkan kaedah kawalan awalan yang dilakukan oleh McDonald’s Malaysia untuk menjamin kualiti dan kebersihan produknya. [20]  FAKTA KES

Jelaskan tindakan McDonald’s Malaysia untuk memenuhi keperluan pekerja-pekerjanya berdasarkan Teori Motivasi Maslow. [10]

Keperluan keselamatan [1]
- memotong gaji pekerja untuk dimasukkan ke dalam KWSP [1]
- memotong gaji pekerja untuk dimasukkan ke dalam PERKESO [1]
- memastikan pekerja-pekerja mendapat tempat kerja yang bersih dan selesa [1]
- menyediakan bilik persalinan [1]
- menyediakan loker [1]
- menyediakan surau

Keperluan penghargaan [1]
- pekerja yang layak akan dipromosi untuk menyandang jawatan yang lebih tinggi [1]
- memperkenalkan anugerah bulanan untuk Krew Terbaik [1]
- menyediakan kemudahan cuti tahunan [1]
- menyediakan kemudahan perubatan percuma di klinik-klinik terpilih

(b) Terangkan kaedah kawalan awalan yang dilakukan oleh McDonald’s Malaysia untuk menjamin kualiti dan kebersihan produknya. [20]

Definisi kawalan awalan
kawalan yang dilaksanakan di peringkat awal sebelum proses pengeluaran bermula [1]

1.      Mendapatkan kerjasama dan pengiktirafan daripada agensi-agensi kerajaan [1]
- mendapatkan pengiktirafan sijil Halal daripada JAKIM
- mematuhi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
- bekerjasama dengan JAKIM untuk menubuhkan Pasukan Syariah Dalaman untuk urusan pemantauan
- mendapatkan khidmat Penasihat Bebas Halal bagi memantau proses penyembelihan

2.      kawalan terhadap bahan mentah [1]
- memastikan hanya bahan mentah yang segar digunakan
- memastikan bahan mentah hanya diperolehi daripada pembekal yang diiktiraf oleh JAKIM
- pemeriksaan kualiti dilakukan terhadap bahan mentah sebaik sahaja diterima daripada pihak pembekal
- bahan mentah akan disimpan dalam peti penyejuk beku mengikut keperluan suhu tertentu

3.      Kawalan terhadap pekerja [1]
 - setiap pekerja diwajibkan mengambil suntikan imunisasi tifoid
- setiap pekerja dipastikan berada dalam keadaan cukup sihat
- setiap pekerja diwajibkan mencuci tangan dengan bahan pembasmi kuman
- setiap pekerja diwajibkan memakai sarung tangan pakai buang

4.      Kawalan terhadap tempat penyediaan makanan [1]
- tempat penyediaan makanan dipastikan dalam keadaan yang bersih dan selamat
- tempat penyediaan makanan mesti mempunyai sinki khas
- sinki khas mesti dilengkapi dengan sabun
- sinki khas mesti dilengkapi dengan air paip
- sinki khas mesti dilengkapi dengan tisu 

No comments :

Post a Comment