Thursday, March 5, 2015

Kajian kes Pengajian Perniagaan- pengurusan dan komunikasi

SYARIKAT VIVA SENDIRIAN BERHAD

Syarikat VIVA  Sendirian Berhad merupakan sebuah syarikat yang mengeluarkan pelbagai aksesori fesyen wanita  seperti topi, beg tangan dan kasut. Syarikat ini terletak di Shah Alam. Syarikat Viva diasaskan oleh  Azlin, Tarmizi, Nina, Munira dan Razif  yang merupakan bekas pelajar UiTM . Azlin , Tarmizi dan Nina merupakan graduan dalam bidang rekabentuk fesyen. Munira pula seorang graduan pengurusan dan perniagaan dan Razif  mempunyai kelulusan dalam bidang pengurusan sumber manusia. Produk yang dihasilkan oleh syarikat ini dibeli oleh rangkaian kedai fesyen di Malaysia dan Eropah.


Syarikat ini mempunyai laman web tersendiri yang digunakan tujuan pemasaran produk termasuk pesanan dan pembayaran. Syarikat Viva juga menggunakan laman web social seperti facebook dan Twitter untuk memperkenalkan produk syarikatnya. Azlin yang merupakan ketua pegawai eksekutif syarikat ini percaya bahawa teknologi maklumat merupakan  perkara  penting dalam pengurusan perniagaan abad ke 21 ini. Syarikat VIVA  mempunyai sistem intranet tersendiri untuk mewujudkan sistem komukasi yang berkesan di kalangan stafnya.


Syarikat VIVA mempunyai pekerja seramai 95 orang. Azlin memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai eksekutif. Syarikat ini mempunyai empat  jabatan utama iaitu pengeluaran, kewangan, pemasaran dan sumber manusia. Jabatan pengeluaran diketuai oleh Tarmizi dan dibantu oleh tiga  orang eksekutif pengeluaran. Jabatan kewangan diketuai oleh Munira dan dibantu oleh dua eksekutif kewangan. Unit pengambilan dan unit latihan terletak di bawah jabatan sumber manusia dan diketuai oleh Razif. Unit jualan dan unit khidmat pelanggan terletak di bawah jabatan pemasaran dan diketuai oleh Nina. Sebagai ketua jabatan pemasaran, Nina sering mengadakan taklimat serta pembentangan tentang produk syarikat di dalam dan luar negara.


Produk syarikat ini sangat terkenal kerana kualiti yang tinggi dan sejak mula beroperasi pada tahun 2006, setakat ini tiada satu pun aduan pembeli tentang produk syarikat ini. Pencapaian ini disebabakan kaedah kawalan yang digunakan oleh jabatan pengeluaran. Jabatan Pengeluaran memastikan setiap pekerja mempunyai kemahiran yang diperlukan seperti pengendalian mesin dan bahan. Bahan mentah yang digunakan sangat berkualiti dan diperoleh daripada pembekal yang berwibawa. Semasa produk dihasilkan,  syarikat memastikan pekerja peka terhadap kualiti produk seperti memeriksa sampel dan pasitkan produk dihasilkan sama seperti rekabentuk dan kehendak pembeli.  Produk yang dihasilkan akan disimpan di tempat yang sesuai dan memastikan produk dihantar ke pembeli secepat mungkin. Kaedah pembungkusan yang rapi dibuat untuk memastikan tiada kerosakan pada produk.

Produk syarikat VIVA telah mendapat perhatian pengedar barangan fesyen terkenal di China iaitu WenChai Limited yang menghantar E-mail kepada Azlin dan ingin mengadakan rundingan pembelian produk.  Cik Azlin dan Cik Nina akan mewakili syarikat VIVA untuk berunding  dengan wakil syarikat WenChai  dalam rundingan tersebut.

Berdasarkan kes di atas, jawab soalan berikut:

a.       Huraikan bagaiman teknologi maklumat membantu syarikat VIVA dalam aspek
i.                     Pengurusan perniagaan
ii.                   Pemasaran


b.      Jelaskan kegunaan intranet kepada syarikat VIVA.


c.       Lukiskan carta organisasi Syarikat VIVA dan bincangkan kesesuaian  jenis penjabatanan yang digunakan oleh syarikat tersebut.


d.      Huraikan tiga kemahiran pengurusan yang perlu dimiliki oleh Cik Azlin dan Cik Nina dalam pengurusan tugas masing-masing dan jelaskan tahap kepentingan setiap kemahiran pengurusan tersebut.


e.      Huraikan kaedah kawalan yang digunakan oleh syarikat VIVA


f.        Bagaimanakah factor social, etika, budaya dan maklumat mempengaruhi proses rundingan syarikat VIVA dengan WenChai Limited?



g.       Cadangkan empat strategi perundingan yang boleh digunakan oleh Azlin dan Nina untuk memastikan hasil rundingan memihak kepada syarikat VIVA. 

No comments :

Post a Comment