Tuesday, October 15, 2013

kajian kes Pengajian Perniagaan- Francais

Program Francais Komuniti Catat RM93 Juta Nilai Belian Francaisi Sejak Okt 2011

Program Francais Komuniti yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya mencatat nilai belian francaisi berjumlah RM93 juta sejak ia dilancarkan pada Okt 2011.Menteri berkenaan, Datuk Hasan Malek berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM37.8 juta disumbangkan oleh francais mikro, RM55.2 juta adalah daripada francais makro, manakala sebanyak 280 francaisi mikro baru, berjaya diwujudkan dalam tempoh tersebut sehingga kini.

"Usaha kerajaan dalam membantu menggiatkan industri francais semakin menampakkan kejayaan di mana sehingga 10 Okt tahun ini sejumlah 679 syarikat francais daripada pelbagai sektor telah didaftarkan di negara ini."Selain itu bidang francais juga telah memberikan sumbangan yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara di mana pada tahun lalu, ia menyumbang sebanyak RM23.6 bilion dan dijangka dapat ditingkatkan kepada RM24.3 bilion pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup Program Francais Komuniti Zon Timur 2013 di sini Ahad.Dalam pada itu Hasan berkata bakal usahawan francais perlu menangkis tanggapan bahawa bidang perniagaan francais memerlukan modal yang besar dan berisiko tinggi.

"Kerajaan kini telah memperkenalkan sistem perniagaan francais mikro yang menggalakkan syarikat francais mewujudkan pakej francais yang menawarkan modal permulaan yang kecil, iaitu kurang daripada RM50,000."Langkah ini juga sekaligus dapat membantu syarikat francais tempatan mengembangkan perniagaan mereka menerusi konsep modal kecil yang pastinya akan menarik lebih ramai menceburi perniagaan ini," katanya.

Dipetik dan diubahsuai daripada http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ newsindex.php?id=985407 pada 11 Oktober 2013.

Soalan

a.    Mengapakah kerajaan menggalakkan perniagaan francais?
b.    Adakah anda bersetuju dengan tanggapan bahawa bidang perniagaan francais memerlukan modal yang besar dan berisiko tinggi?

c.    Jelaskan bentuk bantuan kerajaan yang boleh digunakan oleh bakal usahawan yang ingin menceburi perniagaan francais.

No comments :

Post a Comment