Sunday, February 9, 2014

PENGURUSAN STRES DI TEMPAT KERJA

HARIAN METRO - Risiko psikologi tempat kerja
Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Melangkah ke pejabat umpama memasuki zon ‘berbahaya’ bagi Rohaya kerana perlu berhadapan tekanan kerja dan ketua yang garang. Kalau silap walaupun sedikit, Rohaya pasti mendapat kata cacian ‘percuma’.
Meskipun boleh mencari pekerjaan lain, Rohaya memaksa dirinya bersabar demi faktor tempat tinggal dan kenderaan. Ini bagi memenuhi keinginannya tinggal berseorangan disebabkan Rohaya amat mementingkan ketenteraman peribadi (privacy).

Tiga tahun mengabdikan diri di syarikat pembinaan itu, ada kala dia amat tertekan. Selain itu, persekitaran tempat kerja yang tidak seronok, ditambah rakan yang tidak menyokong, membuatkan Rohaya lebih suram.
Pernah dia mendapat cuti sakit selama seminggu akibat tekanan di pejabatnya. Selepas diperiksa doktor, Rohaya didapati ada masalah psikologi iaitu risiko psikologi di tempat kerja.

Pensyarah Perubatan Klinik Perubatan Pekerjaan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Marzuki Isahak berkata, seseorang itu boleh mendapat risiko psikologi apabila terdedah kepada hazad psikologi yang wujud di tempat kerja atau di dalam sesuatu organisasi.

“Antara risiko psikologi seperti kurang sokongan psikologi daripada ketua dan rakan sekerja, pekerjaan yang tidak selamat, tiada kuasa membuat keputusan, permintaan tinggi terhadap pekerjaan dan sebagainya.
“Jika tidak dirawat segera, ia boleh mengakibatkan kesan psikologi yang lebih berpanjangan seperti gangguan emosi, kemurungan dan keresahan iaitu sosial fobia, panik, agora fobia yang membabitkan 17.4 peratus lelaki dan 25.4 peratus wanita manakala masalah pengambilan alkohol berlebihan pula membabitkan 7.2 peratus lelaki dan 1.5 peratus wanita selain masalah pengambilan dadah,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, ada beberapa gejala seperti simptom perasaan, pemikiran, tingkah laku dan tindak balas fizikal. Antara simptom perasaan ialah mudah berasa terganggu menyebabkan seseorang cepat marah, risau, resah, takut, mudah menangis dan kurang keyakinan diri.

“Menerusi simptom pemikiran pula, seseorang itu lebih mudah lupa, sukar menumpukan perhatian, mudah terganggu, sukar membuat keputusan serta keliru, melengahkan kerja tanpa alasan, tidak fleksibel serta risau dan kerap mengandaikan masalah lebih teruk tanpa cuba menyelesaikannya.

“Manakala simptom tingkah laku pula seperti pengurusan masa semakin lemah, tergesa-gesa, sukar mengagihkan tugas, kerja melebihi masa, mengelak daripada selesaikan masalah, mengurangkan aktiviti menyeronokkan, menyalahkan orang lain terhadap sesuatu masalah, kurang masa bersama kawan-kawan dan sebagainya,” katanya.

Simptom tindak balas fizikal pula seperti mudah letih, sakit dada, sukar bernafas, insomnia, tekanan darah tinggi, kerap kencing, kurang minat terhadap hubungan seks dan lebih kerap menghidap penyakit berjangkit.

Katanya Dr Marzuki, pekerja yang mempunyai beban kerja tinggi tetapi kurang kuasa membuat pilihan serta kurang kemahiran lebih berisiko untuk mengalami gejala ini.

“Golongan pekerja separa mahir kerap mengalami gejala ini kerana kurang mempunyai autonomi di tempat kerja berbanding pekerja mahir. Walaupun golongan profesional dan pengurus mempunyai beban kerja yang tinggi, kuasa autonomi dimiliki menyebabkan kurang terdedah terhadap risiko tekanan kerja yang tinggi.

“Jika dibiarkan berlarutan, ia membawa penyakit mental. Paling menakutkan, ada kes membabitkan mangsa membunuh diri disebabkan terlalu tertekan dengan cara terjun bangunan tinggi,” katanya.

Ditanya bagaimana mahu mendapatkan persekitaran tenang dan seronok di tempat kerja, Marzuki berkata, mengamalkan pengurusan masa yang baik, mahir dalam mengawal kemarahan serta menyelesaikan konflik secara berhemah.

“Berfikiran positif dan komunikasi antara elemen penting bagi membentuk suasana produktif dan efisyen di tempat kerja. Di samping itu, mengamalkan tegas diri serta terapi relaksi seperti tarik nafas, melakukan sedikit regangan bagi melepaskan tekanan serta terapi muzik membantu mengurangkan tekanan.

“Mereka yang mempunyai sokongan psikologi dari ketua dan rakan sekerja akan merasa lebih puas bekerja, komited, prestasi kerja baik, dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kerja,” katanya.

Penghidap risiko psikologi yang memerlukan kaunseling serta sokongan psikologi akan dirujuk kepada pakar psikiatri. Bagi kes teruk, pesakit akan menjalani rawatan menggunakan ubat psikotik dan psikoterapi.


Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

DIPEROLEH DARIPADA: 
 http://www.hmetro.com.my/articles/Risikopsikologitempatkerja/MA/Article

 pada 10 Mac 2014


Soalan :

a. Jelaskan punca stres  Rohaya.


b. Jelaskan kesan yang dihadapi oleh Rohaya  disebabkan stres


c. Jelaskan kesan yang dialami oleh organisasi tersebut sekiranya sebahagian besar pekerja mengalami masalah seperti Rohaya.


d. Bagaimanakah organisasi tersebut boleh mengurangkan stres di kalangan pekerjanya?

No comments :

Post a Comment