Tuesday, April 23, 2013

Kajian Kes Pengurusan


Kajian Kes Pengurusan
Kajian kes 1: Restoren M’Delite
Encik Anwar merupakan pemilik restoren M’Delite yang mula beroperasi pada tahun 2000 di Ampang point, Kuala Lumpur. Restoren ini menyediakan pelbagai hidangan masakan Melayu dan juga masakan Cina dan India. Restoren ini juga ada menyediakan perkhidmatan catering. Sebagai pemilik tunggal, beliau menguruskan sendiri perniagaannya. Restoren ini mempunyai 16 orang pekerja.  Puan Asmida merupakan pekerja yang telah berkhidmat sejak restoren ini ditubuhkan dan beliau bertindak sebagai perujuk di kalangan pekerja dan juga menjadi orang tengah antara Encik Anwar dengan pekerja. Puan Asmida juga berjaya mewujudkan satu pasukan kerja yang mantap untuk restoren ini.  Baru-baru ini , Encik Anwar telah dimasukkan ke hospital selama 21 hari dan Puan Asmida berjaya menguruskan restoren dengan baik dan menjadi pekerja yang paling disayangi oleh Encik Anwar.
Nilai jualan restoren pada tahun 2011 ialah RM900 000 dan keuntungan bersih pula hamper RM540 000. Sebagai majikan yang bertanggungjawab, Encik Anwar memastikan segala keperluan pekerja diuruskan dengan baik. Setiap pagi , semua pekerja akan diberi penerangan oleh Encik Anwar tentang tugas harian dan juga masalah yang dikeknalpasti sebelumnya.  Dengan ini pekerja memahami matlamat yang ingin dicapai oleh perniagaan dan ini memudahkan tugas mereka. Semua pekerja mempunyai kad kesihatan sendiri dan kos premium dibiayai oleh Encik Anwar. Semua pekerja diberi bonus sebanyak 2 bulan setiap tahun dan pelbagai insentif tambahan juga diberi seperti elaun kehadiran penuh dan elaun lebih masa. Encik Anwar juga seorang yang peramah dan pekerja berasa  selesa untuk membincang masalah kerja dengan beliau. Pekerja juga diberi kebebasan untuk menguruskan tugas yang diberikan dan kebanyakan masalah berkaitan dengan  urusan restoren diselesaikan oleh pekerja sendiri. Encik Anwar juga menghadiri semua majlis keluarga  pekerja . Baru-baru ini, Encik Anwar juga mengadakan program pengurusan stress untuk semua pekerja .Encik Anwar hanya mengurusakan pesanan catering dan  urusan kewangan harian restoren. Puan Asmida juga bertindak sebagai mentor untuk membantu pekerja yang menghadapi masalah dalam kerja harian. Ini menyebabkan kesetiaan pekerja meningkat dan setakat ini hanya seorang pekerja yang berhenti kerana masalah kesihatan dan masalah stress di kalangan pekerja juga tidak wujud.
Memandangkan kemajuan perniagaannya, Encik Anwar bercadang untuk menukar status milikan perniagaannya kepada sebuah syarikat sendirian berhad dan juga memohon pinjaman sebanyak RM500 000 untuk membuka dua cawangan baru iaitu satu cawangan di KLCC dan satu lagi di Pavillion. Beliau telah mengemukakan kertas kerja kepada  CIMB bank  untuk mendapatkan pembiayaan tersebut. Encik Tony, pengurus cawangan CIMB Jalan Ampang menyatakan rasa  tidak puashati beliau terhadap kertas kerja yang dikemukakan oleh Encik Anwar.  Kertas kerja ini tidak mempunyai carta organisasi dan  Beliau meminta Encik Anwar  perlu memasukkan visi, misi dan objektif perniagaan serta rancangan strategic dan taktikal untuk mencapai VMO  yang telah ditetapkan.  Encik Anwar juga diminta menyediakan satu analisis persekitaran perniagaan yang komprehensif  agar, pihak bank dapat menilai kedudukan perniagaan Encik Anwar dengan lebih jelas.
Pada bulan  Januari 2012, pinjaman telahpun diluluskan  dan cawangan baru dijangka dibuka pada bulan  Julai 2013. Encik Anwar bercadang untuk menggunakan dua kaedah promosi iaitu menjemput pelakon terkenal Hindi iaitu Ran Veer Singh atau iklan dalam media elektronik. Jadual di sebelah menunjukkan kemungkinan kos dan hasil yang dijangkakan daripada dua kadah tersebut.




Alternatif  Keputusan
Jangkaan Keuntungan dalam keadaaan ekonomi berkembang
Jangkaan Keuntungan dalam keadaan ekonomi meleset
Menggunakan Ran Veer Singh untuk promosikan pembukaan cawangan

RM900,000
- RM400,000
Pengiklanan dalam media elektronik

RM700,000
- RM200,000
Tanpa guna alat promosi

RM0
RM0
Kebarangkalian

0.5
0.5



Soalan

a.    Jelaskan strategi yang digunakan oleh Encik Anwar untuk memotivasikan pekerjanya.  (4)

(ganjaran, kebajikan, penghargaan, tanggungjawab, kebebasan)


b.    Bolehkah Puan Syahida dianggap sebagai pemimpin tidak formal? Jelaskan (6)

(Ya, dihormati, rujukan, pengantara, penyelesi masalah, melatih)

c.    Mengapakah pekerja restoren tidak menghadapi masalah stress? (8)

(Iklim, pembahagian kerja, kursus, pengurusan, ganjaran)

d.    Mengapakah VMO, strategic, taktikal penting kepada sesebuah perniagaan? (10)

(Maksud visi, misi , objektif, strategik, taktikal dan kepentingannya)


e.    Sediakan satu analisis SWOT untuk perniagaan tersebut. (12)

Kekuatan- pekerja, jenis makanan, ____________,____________
Kelemahan- harga , menu, ___________,______________
Peluang - ekonomi, ____________, _____________
Ancaman- persaingan, _________________

Huraikan setiap satu secara detail


f.     Mengapakah sesebuah syarikat perlu menyediakan carta organisasi?  (5)

Terangkan maklumat yang diperoleh

g.    Berdasarkan maklumat dalam kes, sediakan pokok keputusan untuk masalah promosi cawangan baru. (12)



h.    Pada pandangan anda, mengapakah perlunya wujud hubungan baik antara majikan dengan pekerja? (8)

Produktiviti, matlamat, komunikasi, hubungan, motivasi

i.      Berdasarkan maklumat dalam perenggan dua, jelaskan perkaitan kes dengan teori motivasi  Maslow. (6)

(keperluan peringkat bawahan dengan peringkat atasan)


j.        Jelaskan kepentingan pasukan kerja mantap untuk  perniagaan Encik Anwar. (8)

matlamat, motivasi, penyelesaian masalah, kersama, idea


Kajian kes 2 : Bowlorama


Bowlorama merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan bowling secara francais. Syarikat ini menyediakan perkhidmatan bowling dengan caj yang berpatutan. Ia bercadang untuk membuka sebuah cawangan baru di Wangsa Maju. Syarikat ini bermatlamat untuk menggunakan pekerja yang minimum. Pekerja hanya diperlukan utnuk tujuan keselamatan dan kebersihan. Mesin digunakan untuk menyediakan wang syilng dan juga untuk menyewa alatan bowling. Tempahan lorong bowling dibuat melalui internet atau mesin yang terdapat di foyer. Ada mesin untuk membeli minuman ringan.

Encik Fikri bercadang untuk membeli kemudahan francais syarikat tersebut. Kajian menunjukkan kebanyakan warga Wangsa Maju merupakan golongan berumur tiga puluh tahun ke bawah dan mempunyai tingkat pendapatan yang tinggi. Di samping itu, terdapat hanya satu pusat bowling iaitu di Wangsa Walk. Walau bagaimanapun terdapat banyak pusat hiburan lain seperti pusat permainan online cybercafé, xtreme sports, futsal,  pusat snooker dan pinball. Bandar Wangsa maju mempunyai penduduk yang berpendapatan sederahan dan tinggi dan harga rumah pula semakin meningkat. Beberapa projek perumahan baru juga dibangunkan seperti Desavillas, villa wangsa mas dan Seri Riana. Encik Fikri mempunyai hubungan rapat dengan syarikat yang berkaitan dengan hiburan. Stail pengurusan Encik Fikri juga bersifat terbuka dan beliau mudah didekati oleh semua orang untuk membincang masalah. Encik Fikri tidak mempunyai kemahiran pengurusan kewangan dan beliau sering serahkan tugas ini kepada akauntan untuk menguruskannya.

a.     Apakah faedah yang dinikmati oleh perniagaan yang mempunyai bilangan staf yang minimum? (4)
b.    Sediakan sebuah analisis SWOT tentang peluang perniagaan yang disediakan oleh Bowlorama dan berikan cadangan kepada Encik Fikei sama ada membeli perniagaan tersebut atau tidak. (10)



Kajian kes 3: Kejayaan APPLE

Mereka bermula dengan wang sebanyak USD1,300 (RM3,900) yang diperoleh daripada hasil jualan kalkulator saintifik milik Stephen Gary Wozniak dan Volkswagen milik Steve Jobs. Dengan wang ini mereka menghasilkan sendiri komputer peribadi di garaj rumah keluarga Steve Jobs. Komputer-komputer ini kemudiannya dijual di pasaran dan pada April  1976,  syarikat Apple ditubuhkan.

Dan kini selepas 35 tahun, Apple merupakan antara syarikat korporat paling berjaya di Amerika Syarikat dan dunia dengan nilai pasaran saham sekitar USD200 billion (RM600 billion) dan hanya beberapa langkah di belakang pencapaian Microsoft.

Apakah yang menjadikan Apple sebagai syarikat korporat yang cukup dikagumi rakan dan pesaingnya? Produk-produk keluarannya seperti iPod, iPhone dan iPad menjadi rebutan di pasaran dan ini dapat dibuktikan apabila di Sydney,  beribu pembeli sanggup berkhemah di luar kedai dua hari sebelum iPhone4 dilancarkan?

Bukan setakat itu, produk keluaran Apple mempunyai golongan pembeli yang cukup setia di mana majoriti mereka yang menggunakannya tidak akan bertukar ke jenama lain walaupun harganya lebih mahal dari produk-produk lain yang seumpamanya.

Jika dirujuk pada majalah-majalah perniagaan di Amerika Syarikat, terdapat banyak faktor yang boleh disenaraikan sebagai penyumbang kepada kejayaan Apple ini. Namun, artikel ini akan menyenaraikan enam faktor utama yang dikenalpasti menjadikan produk-produk Apple sebagai antara produk yang paling berjaya dalam pasaran.
Karisma Kepimpinan Steve Jobs
Percaya atau tidak Steve Jobs tidak mempunyai ciri-ciri bos idaman seorang pekerja. Beliau terkenal dengan gaya kepimpinan autokratik dan sukar untuk sesiapa bekerja di bawahnya. Mereka yang pernah bekerja dengannya mengatakan beliau bukan sahaja boleh mengubah keputusan yang telah dibuatnya dalam sekelip mata malah adakalanya beliau akan memalukan mereka yang tidak
sependapat dengan pandangannya.

Visi yang idealistik
Tetapi di sebalik itu, Steve Jobs telah berjaya memulihkan Apple yang di ambang kejatuhan,  menaikkan keuntungan syarikat dan mengembalikan imej Apple. Harga saham Apple telah meningkat lebih dari 8 kali ganda semenjak beliau menerajui Apple. Walaupun beliau tegas dan keras dalam memimpin mengikut caranya sendiri, Steve dilihat sebagai seorang pemimpin yang bijak dan mempunyai visi yang idealistik iaitu ‘menghasilkan komputer sebagai suatu alat untuk mengubah dunia’ dan ini membuatkan ramai yang tertarik untuk bekerja dengannya.

Pencipta iPod dan iPhone ini meletakkan tanda aras yang tinggi untuk inovasi dimana beliau merupakan CEO yang sangat obses dalam memastikan produk-produk Apple sempurna dalam setiap perkara. Steve Jobs memastikan produknya adalah yang terbaik kerana beliau  percaya jika ‘anda menghasilkan sesuatu yang amat hebat, maka setiap orang akan mahu menggunakannya’.
Malah, dedikasi beliau pada penemuan baru dan kecemerlangan ini telah mencipta budaya yang menjadikan Apple sebagai simbol inovasi.

Matlamat yang Jelas
Di Apple, matlamat akhirnya bukannya untuk membuat keuntungan tetapi Apple meletakkan dengan jelas matlamat utamanya ialah untuk ‘merekabentuk, membangunkan dan membawa kepada pasaran produk-produk yang lebih bagus’. Apple percaya dari situ, orang ramai akan menyukai produk-produknya, mendapatkannya dan dari situlah mereka menjana pendapatan.

Kerana itu,  Apple memastikan agar mereka tidak hanya sekadar menghasilkan produk baru yang hanya sekadar berbeza dengan produk pesaing tetapi mereka memastikan produk yang dihasilkan lebih bagus serta mempunyai kualiti tinggi. Bagi Apple, sekadar menghasilkan produk yang  berbeza dan baru itu adalah mudah.

Penekanan pada aspek ‘lebih bagus’ pada produk Apple mencerminkan pendirian syarikat tersebut untuk tidak mahu menjadi sebuah syarikat yang berterusan mengeluarkan produk yang baru hanya semata-mata kerana mahu terus ‘hidup’ tanpa memikirkan kesan jangka panjangnya. Bagi Apple, adalah satu pembaziran apabila sesebuah syarikat itu menggunakan segala sumbernya yang ada termasuk masa bekerja pekerja hanya untuk mengeluarkan produk yang baru yang tidak memberi nilai baru pada pembeli.

Inovasi, Satu Cara Hidup
Inovasi merupakan jantung dan nyawa Apple. Di Apple, inovasi tidak dijadikan kenyataan yang ditampal di dinding One Infinite Loop, ibupejabatnya tetapi ia dijadikan cara hidup di syarikat tersebut. Mereka bukan setakat berfikir bagaimana untuk menghasilkan produk baru yang lebih bagus seperti iPod dan iTunes Stores (yang merupakan ‘kedai jualan’ muzik kedua terbesar di US selepas Walmart).

Tetapi mereka juga berterusan mengenalpasti jalan bagi menambahbaik produk sedia agar menjadi lebih bagus, contohnya seperti iPad 2 yang lebih 33 peratus lebih nipis, 15 peratus lebih ringan dan 2 kali lebih laju dari iPad 1. Begitu juga dengan iPod Nano yang merupakan inovasi dari produk asalnya iaitu iPod.




Produk yang mengujakan
Pembangunan produk baru di Apple bermula dari keberanian mereka menghasilkan produk yang benar-benar membuat diri mereka sendiri teruja terlebih dahulu dan adakalanya ia bermula dengan dengan mempersoalkan kemampuan produk sedia ada. Sebagai contohnya idea penghasilan iPhone bermula dengan soalan-soalan pelik seperti di bawah:
“Apa yang kita benci ? Telefon bimbit. Apa yang kita akan ada dengan teknologi sedia ada ? Telefon bimbit dengan Mac di dalamnya. Apa yang kita mahu miliki ? Sebuah iPhone.”
Dan setiap usaha inovasi di Apple diambil begitu serius sehingga ia dipanggil usaha ‘moon shot’di US. (‘Moon shot’adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada program angkasa lepas oleh NASA). Mereka bersungguh-sungguh memfokuskan segala sumber yang ada untuk menghasilkan sesuatu produk walaupun kejayaannya di pasaran masih belum pasti sepertimana produk Apple TV, G4 Cube dan MacBook Air yang tidak berjaya di pasaran.
Namun, sebagai sebuah syarikat yang berteraskan inovasi, kegagalan adalah lumrah bagi Apple. Apa yang penting bagi mereka, setiap usaha penghasilan produk inovasi wajib dibuat dengan bersungguh-sungguh kerana apabila produk itu berjaya, kejayaan yang dicapainya adalah besar dan mengatasi kegagalan produk-produk terdahulu.
Ini dapat dilihat jumlah jualan iPhone yang mencecah 45 juta di seluruh dunia setakat tahun 2010. Manakala jualan iPad pula mencecah 3 juta unit hanya dalam masa 80 hari pelancarannya.

Pasukan Kerja yang Istimewa
Tidak semua orang boleh bekerja dengan gaya kerja Steve Jobs dan tidak semua orang boleh bekerja dengan Apple walaupun mempunyai kemahiran dan pengalaman yang banyak. Apple memerlukan pasukan kerja yang mereka gelarkan sebagai ‘pasukan kerja yang istimewa’.
Setiap pekerja di Apple mempunyai fungsi tugas mereka sendiri tetapi terdapat ‘garisan halus’ di antara fungsi-fungsi tersebut di mana setiap dari mereka mesti mampu berkolaborasi atara satu sama lain walaupun mempunyai projek yang berlainan.

Mereka juga hanya akan mengambil pekerja yang merasa tidak puas atau cukup dengan apa yang ada. Pereka produk Apple mestilah seorang fanatik dalam menghasilkan produk yang benar-benar sempurna sehinggakan bentuk skru di bawah MacBook pun dipastikan selari dengan rekabentuk keseluruhan MacBook tersebut. Apple memerlukan pereka produknya mempunyai kepercayaan
(belief), nyalarasa (passion) dan komitmen dalam mencapai kesempurnaan.

Kemampuan beremosi
Bagi jawatan jurutera, Apple bukan sekadar mencari mereka yang mempunyai kemahiran teknikal tetapi juga yang mempunyai kemampuan beremosi. Kemampuan beremosi di sini merujuk kepada nyalarasa dan daya tahan yang mampu mendorong diri jurutera tersebut untuk mengatasi segala halangan dari segi teknikal dan rekabentuk bagi memastikan sesuatu projek itu siap mengikut jadual.
Seperkara lagi, tekanan di kalangan rakan sekerja di Apple amat tinggi sehinggakan ketua sesuatu unit atau projek akan ditolak oleh orang bawahan sekiranya pencapaiannya lemah. Menurut Ketua Pegawai Operasi Apple iaitu Tim Cook, Apple bukan tempat bekerja bagi mereka yang mempunyai hati dan semangat yang lemah.














Mampu Membentuk dan Mewujudkan Pasaran Baru
Bagi Steve Jobs, sesuatu produk yang dihasilkan tidak semestinya kerana pasaran memerlukannya, tetapi apa yang penting adalah untuk ‘menghasilkan produk yang pasaran yang mahukan sebelum mereka sendiri sedar mereka mahukannya’. Kerana itu Steve Jobs diketahui tidak berpegang pada kaedah kajian pasaran, grup fokus dan sebagainya tetapi dia menghasilkan produk yang beliau mahukan. Sebagai contohnya, ketika iPhone dan iPad mula-mula diperkenalkan, adakah sesiapa yang mahukannya sebelum ia dijual? Tetapi apabila ia telah djual, hampir setiap daripada kita mahu memilikinya.




‘Cool factor’
Kemampuan berkomunikasi dan perhubungan awam Steve Jobs dikatakan faktor utama produknya berjaya di pasaran. Realitinya itu hanyalah faktor penyokong, faktor utama kejayaannya adalah  faktor ‘cool’ (cool factor) yang ada pada produk tersebut yang terhasil dari  inovasi kreatif, rekabentuk unik yang bergaya, mesra pengguna serta pada harga yang munasabah.
Seperkara lagi, dalam menghasilkan produknya, Apple sedar apa yang penting kepada majoriti pengguna adalah pengalaman menggunakan produk tersebut bukannya teknologi di sebalik produk tersebut. Pengguna lebih teruja dengan kemampuan iPod menyimpan sehingga 1,000 lagu bukannya dengan spesikasi pemacu keras (hard drive) di dalam iPod tersebut.

Persepsi pasaran
Apple juga berjaya membentuk persepsi pasaran bahawa jenamanya adalah jenama berteknologi tinggi sepertimana jenama Chanel dan Polo dalam dunia fesyen. Produk-produk Apple telah menjadi produk yang mendefinasikan identiti pemiliknya di mana pemiliknya dipandang sebagai mereka yang inovatif, bijak, bergaya dan berbeza dengan orang kebanyakkan yang lain.

Rangkaian Produk yang Sedikit
Berbanding dengan pengeluar produk telefon bimbit dan komputer riba yang lain, Apple mempunyai rangkaian produk yang sedikit. Ini memudahkan pengguna untuk memahami perbezaan antara produk-produknya dan sekaligus memudahkan pembeli membuat kepurusan untuk membeli.

Sebagai contohnya  bandingkan di laman web berapa banyak jenis telefon pintar yang dijual iPhone dengan jenama Nokia dan Blackberry. Jumlah jenis telefon pintar iPhone boleh dikira hanya dengan satu jari sahaja.



Memfokuskan sumber
Justeru pendekatan yang digunakan Apple  adalah menghasilkan hanya beberapa produk dengan menggunakan segala sumber yang ada di tangan dan menjadikannya berjaya. Mereka percaya jika sesebuah syarikat  menggunakan sumber yang ada untuk mengeluarkan rangkaian atau jenis produk yang banyak, kualiti dan fungsinya akan menurun.
Ini kerana sumber untuk menghasilkan setiap produk  akan berkurangan dek kerana jumlah rangkaian dan jenis produk yang banyak mahu dihasilkan. Produk yang mempunyai kualiti dan fungsi yang rendah tidak akan mampu berjaya di pasaran.

Keenam-enam strategi yang digariskan di atas secara keseluruhannya menggambarkan moto Apple itu sendiri iaitu ‘Think Different’ atau berfikir dengan cara berbeza. Apple memilih untuk menggunakan pendekatan yang berbeza dalam menguruskan perniagaannya yang adakalanya bertentangan dengan teknik pengurusan tradisional yang telah lama diamalkan oleh syarikat-syarikat lain.
Dan perbezaan inilah yang akhirnya meletakkannya sebagai salah satu jenama dan syarikat korporat yang paling berjaya di dunia.




Soalan

a.     Terangkan gaya pengurusan yang diamalkan oleh Steve Jobs.

b.    Sediakan sebuah analisis swot untuk syarikat Apple

c.     Jelaskan ciri-ciri yang dimiliki oleh pekerja syarikat Apple. Gunakan teori motivasi yang sesuai untuk menerangkan ciri-ciri pekerja tersbut.

d.    Mengapakah syarikat teknologi seperti Apple amat memerlukan pasukan kerja yang istimewa?

e.     Jelaskan visi dan misi syarikat ini.

f.     Jelaskan maksud memfokuskan sumber.

No comments :

Post a Comment