Monday, August 19, 2013

Koleksi Artikel Kepimpinan PBS Pengajian Perniagaan

Pastikan sumber rujukan anda bukan buku rujukan STPM dan wikepedia. Anda boleh menggunakan rujukan tambahan seperti buku ilmiah, jurnal, arikel akhbar dan majalah , laman web, laporan tahunan organisasi dan lain-lain





Di bawah adalah contoh artikel akhbar tempatan berkaitan dengan kepimpinan.







Hanya 38% pekerja puashati dengan pihak pengurusan

27 Ogos 2012
KUALA LUMPUR - Gaya kepimpinan dan pengurusan memainkan peranan penting di tempat kerja dan 38 peratus responden puas hati dengan gaya kepimpinan pengurusan mereka sekarang, kata Kajian Tenaga Kerja Global Kelly Services Inc.

Menurut kajian itu, penilaian yang paling memberangsangkan adalah dari Amerika, di mana 45 peratus berkata mereka puas hati dengan kepimpinan pihak pengurusan mereka sekarang, jauh mendahului kedua-dua Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) pada 34 peratus dan Asia-Pasifik pada 39 peratus.

Hamppir 170,000 pekerja di 30 negara mengambil bahagian dalam kajian itu, termasuk lebih 2,000 di Malaysia, kata Kelly Services dalam satu kenyataan hari ini.

"Berbanding dengan negara-negara lain, rantau Asia-Pasifik berada pada kedudukan yang agak baik bagi kepimpinan pengurusan dengan India (65 peratus), Indonesia (58 peratus), Malaysia (58 peratus), New Zealand (52 peratus), Singapura (52 peratus) berada di tempat-tempat teratas.

"Thailand, China, dan Hong Kong menerima markah yang rendah pada masing-masing 44 peratus, 40 peratus dan 38 peratus daripada pekerja," katanya.

Kelly Services berkata pekerka di Asia-Pasifik didapati paling kurang untuk memuji majikan mereka berbanding responden dari wilayah Amerika dan EMEA.

"Bagaimanapun, 60 peratus pekerja di China, Thailand, India dan New Zealand berkata positif tentang majikan mereka manakala di Malaysia dan Singapura adalah pada 52 peratus dan Indonesia 50 peratus," katanya.

Pengarah urusan Kelly Services, Malaysia, Melissa Norman, berkata salah satu daripada sasaran utama ketua yang efektif adalah untuk menggalakkan pekerja mencapai kecemerlangan.

"Kurang daripada separuh yang dikaji (48 peratus) berkata mereka terinspirasi oleh pihak pengurusan mereka untuk memberikan prestasi terbaik di tempat kerja," kata beliau. - Bernama








Memupuk pengikut cemerlang

MUHAMMAD ALI HASHIM
31 Disember 2012
Minggu lalu saya menyampaikan ceramah atas undangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di Genting Highlands dengan tajuk kepimpinan organisasi cemerlang. Dalam ceramah kepimpinan, kita banyak mendengar huraian ciri kepimpinan unggul dan bagaimana organisasi dapat manfaatkan kehebatan peribadi pemimpin mencapai prestasi luar biasa. Tidak banyak kita dengar ceramah kepimpinan fokus kepada memupuk pengikut cemerlang.

Saya memfokuskan ceramah kepada tugas dan kewajipan besar pemimpin organisasi memupuk ciri “kepengikutan” atau followership cemerlang. Saya berpendapat dimensi kepengikutan cemerlang penting ditekankan dalam usaha mencemerlangkan organisasi Malaysia.

Organisasi tidak mungkin berkelangsungan cemerlang sekali pun terdapat kehebatan peribadi pemimpin di puncak hierarki tanpa kewibawaan pengikut. Tegasnya, kepengikutan cemerlang atau excellent followership prasyarat kepada kecemerlangan berpanjangan organisasi.


Gaya kepimpinan abad 19 untuk organisasi abad 21?

Tema utama ceramah saya ialah pada kata-kata hikmah yang menegaskan: “Seorang pemimpin baik membina keyakinan pengikut terhadap diri dan kepimpinannya. Seorang pemimpin agung membentuk semangat dan keyakinan dalam diri pengikutnya.” (A good leader inspires men to have confidence in him. A great leader inspires men to have confidence in themselves.)

Justeru, mengupayakan dan memperkasa pengikut sangat penting, terutama dalam konteks bangsa Malaysia membangun ekonomi, sosial dan politik untuk mengatasi cabaran abad ke-21. Masyarakat Malaysia abad ke-21 pasti bercorak masyarakat organisasi atau a society of organizations sama seperti negara maju lain. Kemajuan dan kelajuan pencapaian masyarakat organisasi pula sangat berkait rapat dengan keberkesanan organisasi, sama ada bisnes (termasuk korporat swasta, GLC atau koperasi), sosial (NGO) atau badan politik.
Perhatikan, negara lebih maju daripada Malaysia semuanya mempunyai keupayaan organisasi lebih tinggi, efisien, berkesan dan canggih daripada kita. Justeru, keberkesanan organisasi wajar mendapat perhatian utama masyarakat. Keberkesanan organisasi pula tidak hanya boleh bergantung kepada ketokohan pemimpin atau CEO tanpa didampingi dan didokong kehebatan pengikut umumnya.

Dalam ceramah saya umpamakan organisasi Malaysia seperti kereta api lama yang terlalu bergantung kepada kepala kereta api untuk bergerak menarik semua gerabak. Maksudnya, organisasi bisnes, politik dan sosial Malaysia banyak menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada pemimpin di puncak organisasi, mengharapkannya menyelesaikan segala masalah. Justeru kepemimpinan satu tanggungjawab peribadi besar, sehingga menjadi satu beban berat.

Sistem organisasi bercorak kereta api lama tidak menurunkan kuasa dan keupayaan kepada gerabak pengikutnya. Budaya organisasi kereta api lama, (sama seperti banyak organisasi bisnes dan politik Malaysia hari ini), tidak menggalakkan anggota mengasah bakat dan menonjol keupayaan. Kepala kereta api memonopoli segalanya.

Justeru, tidak ramai pengikut berani bersuara, terutama dengan pandangan kontra. Ramai keberatan menginisiatifkan pembaharuan dan perubahan, menjadikan organisasi beku, kejang dan jumud. Lagi banyak jumlah gerabak, bertambah besar beban pemimpin, menyebabkan kereta api lama (seperti KTM) kerap tidak menepati masa, lambat, mudah rosak dan tergelincir.

Sebaliknya, kecanggihan kereta api teknologi tinggi Jepun, Korea Selatan, Republik Rakyat China, Eropah dan negara maju lain mencerminkan budaya organisasi cergas dan dinamis. Umumnya mereka menepati masa. Paling menarik perhatian, mereka sangat pantas dan laju. Perhatikan, kepantasan dan kelajuan dimangkin setelah teknologi canggih memberi tenaga dan kuasa kepada setiap gerabak, juga kepada setiap roda. Bayangkan pengertian simboliknya, jika semua anggota dalam organisasi, setiap pengikut bertenaga sendiri, diperkasakan dan empowered.

Kebimbangan saya, budaya organisasi Malaysia bukan sahaja berciri seumpama kereta api lama, mengguna teknologi abad ke-20 untuk menghadapi cabaran abad ke-21. Paling berbahaya, hari ini terdapat trend di beberapa organisasi Malaysia seolah-olah bertindak mengitar semula amalan budaya kepemimpinan lapuk yang diwarisi dari abad ke-19!
Saya berkata demikian kerana banyak ciri warisan budaya zaman dahulu masih kita amalkan dalam organisasi kita hari ini. Dalam artikel minggu lalu saya nyatakan kita banyak mewarisi dan mengamalkan ciri budaya melukut, feudal dan penjajah dalam organisasi, menjadikannya antara punca utama kelemahan.


Pantang organisasi kerdilkan jiwa

Sebagai bukti, hari ini hampir semua organisasi Malaysia masih “mengkakitangankan” warga kerja, sekali pun cabaran abad 21 menuntut organisasi menjadi knowledge dan tecnology-driven.  Mustahil kita peroleh hasil terbaik dan input cemerlang daripada warga kerja yang tidak sempurna sifat dan dipandang rendah martabat insannya. Mana mungkin organisasi manfaatkan ilmu pengetahuan, hikmah dan kebijaksanaan jika pengikutnya tidak berkepala dan berotak serta tidak berdada dan berhati perut?

Malangnya, tidak banyak organisasi pimpinan anak bangsa bertindak memperbaharui sikap dan mengubah pandangan sarwa (worldview) pengikut, jauh sekali daripada memperkasa dan mengempower mereka. Malahan terdapat pemimpin yang senang dan selesa dengan kejumudan dan kekejangan organisasi, memudahkan mereka bersama kroni bermaharajalela membolot kuasa. Mereka sibuk terbang tinggi bersama Superman, sementara warga organisasi kekal dengan sikap melukut, berjiwa kecil dan bersemangat kerdil warisan zaman silam.

Bahayanya, terdapat tanda-tanda budaya kepimpinan abad ke-19 sedang aktif diaplikasi dan diamalkan GLC Malaysia seperti JCorp. Warga kerja organisasi semakin seolah-olah hendak “diabdikan” seperti di zaman dahulu kala, supaya taat setia membuta-tuli tanpa soal.

Ramai pengikut seolah-olah “kena picit dan perah dan ramas di tangan pemerintah-pemerintahnya yang pada zaman dahulu… iaitu dari bangsa mereka sendiri.” (Za’aba).

Ini boleh berlaku apabila organisasi GLC dikerajaankan, diminta mematuhi semua arahan, perintah dan titah tanpa soal. Warga kerja diperbudak dan ditakut-takutkan. Kadang kala sistem spy dan informant digunakan berleluasa dalam organisasi, mematikan semangat, menakutkan semua, langsung mengkerdilkan jiwa. Kesannya seluruh organisasi berjiwa budak atau hamba. Meminjam istilah Prof Hamka, warga organisasi seperti ini “…akan terus menyerahkan saja pada nasib dan berjiwa budak (hamba), bertuhankan manusia, takut kepada segala orang yang berpangkat…” dan berkuasa.


Pengikut bukan untuk diperalat

Sampai ke tahap itu, pengikut dan warga kerja dipandang semata-mata alat untuk memenuhi segala kehendak dan nafsu pemimpin dan Superman berkuasa. Adakalanya budaya seperti ini sengaja dibentuk dalam organisasi, memudahkan pengikut dan warga kerja diperalat dan diperkosa jati diri. Ramai pengikut dipaksa melakukan perkara batil, haram dan mungkar; termasuk menyalahgunakan kuasa, mengutamakan kroni, pilih kasih kontrak dan bekalan, menswasta dengan cara tidak adil, atau langsung rasuah dan korupsi.

Kesimpulannya, selagi pemimpin mengizinkan organisasi didominasi budaya memperkosa jiwa pengikut dan merendah martabat insan mereka, selagi itulah kita tidak dapat menyaingi kederasan dan kehebatan organisasi bangsa lain yang lebih maju. Untuk mengatasi kelemahan ini, saya menyarankan semua organisasi Malaysia, menyusun strategi budaya berkesan untuk kecemerlangan organisasi.

Bagi organisasi majoriti Muslim, prasyarat kejayaan dan keberkesanan strategi budaya wajib berlandaskan nilai Islam. Mustahil bangsa Melayu dan umat Islam diperkasa melalui kaedah tanpa berpegang teguh kepada Tali ALLAH.

Dalam menyusun strategi budaya, paling penting ialah mengiktiraf martabat pengikut dari perspektif Islam. Pengikut bukan lagi kakitangan atau manusia tidak sempurna. Islam melihat mereka sebagai insan kamil dan ahsanitaqwim, iaitu ciptaan ALLAH dalam bentuk yang sebaik-baiknya (al-Quran, 95:4). Pengikut juga harus dilihat sebagai khalifah berpotensi menerajui dan memperbaharui, meningkatkan prestasi dan mencemerlangkan organisasi.

Dalam kes GLC, koperasi dan badan korporat, institusi dan juga universiti, ini bermakna setiap pengikut adalah pemimpin masa depan, potensi CEO dan usahawan entrepreneur. Organisasi wajib membentuk suasana, budaya kerja, struktur dalaman dan sistem pengurusan yang dapat mengasah bakat mentransformasi pengikut melonjak ke sehingga ke puncak paling tinggi.


* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

Hanya 38 peratus pekerja puas hati

2012/08/28 - 05:28:20 AMCetakEmel Kawan
Hanya 38 peratus pekerja global berpuas hati dengan kepimpinan pengurusan di tempat kerja mereka, demikian mengikut hasil tinjau selidik terbaru Kelly Services, peneraju penyelesaian tenaga kerja global.

Syarikat itu dalam kenyataan semalam berkata, penilaian paling baik adalah dari Amerika di mana 45 peratus responden berkata, mereka berpuas hati dengan gaya kepimpinan pengurusan semasa di tempat kerja. 
Katanya, ia mengatasi responden di Eropah, Asia Barat dan Afrika (EMEA) sebanyak 34 peratus dan 39 peratus pula membabitkan responden negara Asia Pasifik (APAC). 


“Ia adalah sebahagian daripada hasil tinjau selidik terbaru oleh Indeks Tenaga Kerja Global Kelly (KGWI) dengan penyertaan hampir 170,000 orang di 30 negara termasuk lebih 2,000 pekerja di Malaysia,” katanya.

Kepimpinan demokratik

Pengarah Urusan Singapura dan Malaysia Kelly Services, Melissa Norman, berkata pekerja dilihat lebih cenderung terhadap kepimpinan demokratik, diikuti kepimpinan yang menekankan pemerkasaan serta memperlihatkan empati di tempat kerja.

Katanya, pemimpin berwawasan yang menyuntik semangat kerja berpasukan di kalangan pekerja menggalakkan pembabitan dan penyertaan dalam organisasi.
“Pekerja dengan jelas memilih gaya kepimpinan yang menekankan kemahiran komunikasi, berwawasan, empati, semangat kerja berpasukan dan memperkasakan individu,” katanya.

Hasil kajian itu menunjukkan sebanyak 40 peratus generasi Y berumur antara 19 hingga 30 tahun berpuas hati dengan kualiti kepimpinan di tempat kerja mereka berbanding dengan generasi X berumur antara 31 hingga 48 tahun dan Baby Boomers berumur antara 49 hingga 66 tahun dengan masing-masing 37 peratus.

Selain itu, hanya sebilangan kecil pekerja mendapat gaya kepimpinan yang mereka ingini dengan 43 peratus berkata mereka mendapat gaya kepimpinan demokratik, menekankan pemerkasaan, memperlihatkan empati, dan berwawasan di tempat kerja mereka.
10/6/13

Inovasi, anjakan paradigma penting bagi sekolah

28 Jun 2012
SEMPORNA - Pengurusan dan pentadbiran sesebuah sekolah perlu terus melalui proses inovasi dan anjakan paradigma selaras dengan objektif falsafah pendidikan negara.
  
Pensyarah Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Muhamad Suhaimi Taat berkata ini penting dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran.
  
"Pada masa yang sama ia juga perlu bagi mengelakkan pentadbiran sekolah daripada menjadi stereotaip dan jumud.
  
"Aspek utama yang perlu diberi tumpuan adalah bagaimana pengurusan boleh ditambah baik tanpa perlu menunggu sebarang arahan atau pekeliling daripada pihak atasan.
  
Pihak pengurusan yang inovatif serta kreatif akan sentiasa berfikir untuk mewujudkan suasana kerja kondusif serta memberangsangkan bagi semua kakitangan sekolah.
  
"Aspek-aspek pengurusan yang dirasakan sudah tidak relevan atau yang lebih menyulitkan proses birokrasi di sekolah perlu dikaji semula.
  
"Apa yang lebih penting adalah melaksanakan perkara-perkara utama yang dipersetujui dalam mesyuarat dan keputusan mesyuarat janganlah tinggal di atas kertas sahaja tanpa sebarang tindakan," katanya.
  
Dr Muhamad berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk "Pemikiran Semula Pengurusan Pendidikan:Isu-Isu Inovatif dan Futuristik" yang beliau bentangkan sempena Seminar Dinamika Organisasi Pendidikan (SDOP) di Semporna baru-baru ini.

Yakin kepada penerima tugas
 
Seminar yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Daerah Semporna itu dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Jaujan Sambakong.
  
Dalam aspek ini, kata Dr Muhamad, pendekatan pentadbiran di sekolah adalah tertakluk kepada kebijaksanaan masing-masing dan mungkin berubah mengikut masa, situasi dan staf yang berbeza.
  
Contohnya, apabila mewakilkan sesuatu pihak dengan tugasan tertentu, pihak yang memberi tugas perlu berkeyakinan dan memberi kepercayaan penuh kepada penerima tugas.
  
Dalam konteks berkenaan, konsep 'empowerment' (perkasa) yang harus dititikberatkan dan bukannya 'overpower' (menguasai) agar subodinat dapat melaksanakan segala tugasan dan tanggungjawab yang diterima dengan penuh dedikasi dan berautonomi.
  
Aspek kedua yang perlu diberi penekanan dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah adalah berhubung dengan penyeliaan klinikal, bimbingan serta pemantauan yang berterusan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran dalam darjah yang dilaksanakan oleh guru.
 
Gabungan Lama dan Baru
 
Para guru baru memerlukan bimbingan dan nasihat daripada 'guru pakar' atau 'otai' untuk menjadikan mereka lebih matang dalam bidang pendidikan meskipun mungkin mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang.
  
"Sekiranya dapat digembleng ilmu pengetahuan, kemahiran dan usaha daripada 'orang lama' dan 'orang baru', baharulah proses pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah dapat dipertingkat sehingga berupaya menjulang kecemerlangan.
  
"Percambahan idea antara dua kelompok tadi akan dapat mencetuskan inovasi dan aspek futuristik dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang merupakan intipati teras pada seseorang pendidik di sekolah," katanya.
  
Aspek ketiga yang penting dalam proses meningkatkan inovasi dalam pentadbiran dan pengurusan sekolah adalah sumber manusia atau warga sekolah itu sendiri termasuklah pentadbir, guru, staf sokongan dan pelajar.
  
Aspek sumber manusia berhubung rapat dengan aspek keselesaan, keharmonian persekitaran sekolah yang akan menyumbang kepada keseronokan, atau 'kenikmatan' bekerja bagi kakitangan dan 'kenikmatan' belajar bagi pelajar.
 
Inovasi Dalam Pengurusan
 
"Sekolah bagaikan rumah kedua bagi semua warga sekolah. Jika selama ini kita mengambil pendekatan atau slogan "rumahku syurgaku", mengapa kita tidak boleh mengambil pendekatan yang serupa iaitu "sekolahku syurgaku"?
  
Menurut Dr Muhamad elemen inovatif dan futuristik dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah sebenarnya tidak boleh dielakkan sama ada suka atau tidak.
  
Bagaimanapun, inovasi yang beliau maksudkan bukanlah merekacipta sesuatu yang baru sebaliknya ia adalah pembaharuan dalam aspek pengurusan di sekolah manakala futurustik pula merujuk kepada kemampuan pengurusan mengejar peralihan masa.
  
Seseorang pentadbir atau pengurus sekolah akan dapat mengenalpasti sebarang masalah atau kesulitan yang bakal dihadapi dan telah merancang awal bagaimana untuk menanganinya.
  
"Mungkin timbul pula persoalan, bagaimana hendak menjadi seorang yang inovatif dan futuristik? Antara langkah yang boleh diambil sebagai pendidik sejati adalah keluar daripada zon selesa.
  
Menurut Dr Muhamad untuk menjadi pengurus dan pentabir yang inovatif dan futuristik, warga sekolah hendaklah menganggap segala bentuk kerja atau tugasan adalah merupakan satu ibadah dan bukan semata-mata rutin harian kerana dengan berfikiran begitu semua kerja akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa bertangguh.
  
Guru juga perlu terus menyambung pelajaran dan menambah ilmu pengetahuan sehingga ke tahap doktor falsafah namun tujuan utamanya perlulah menambah ilmu di dada, memantapkan kemahiran dan bukan semata-mata untuk mendapatkan segulung ijazah atau mengharapkan ganjaran material termasuk kenaikan pangkat.
  
"Percayalah, bahawa sekiranya kita belajar hanya untuk ijazah, ilmu akan meninggalkan kita. Justeru, seharusnya segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh hendaklah diaplikasikan di tempat kerja setelah tamat pengajian agar dapat memberi manfaat kepada anak didik," katanya.
- Bernama












Insentif Bai’ah tepat
NORSHIKIN MOHD SALLEH
21 November 2012

Md Nor A Ghani
JOHOR BAHRU – Sistem Bai’ah Baru (New Deal) kepada pemimpin sekolah dilihat mampu menggalakkan guru besar melakukan lonjakan kecemerlangan ilmu, khususnya di sekolah masing-masing.

Bai’ah Baru diperkenalkan kerajaan awal tahun lalu iaitu menawarkan ganjaran kewangan dan bukan kewangan kepada pemimpin dan pasukan pengurusan sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang bernilai RM500 hingga RM7000 seorang.

Pengarah Pelajaran Negeri, Md Nor A Ghani berkata, usaha kerajaan memperkenalkan Bai’ah itu dilihat dapat memastikan setiap sekolah ditadbir secara profesional bagi meningkatkan tahap kecemerlangan sekolah.

“Ia sangat bagus kerana mengiktiraf pengorbanan dan usaha guru besar, guru dan kakitangan sekolah.
“Keadaan ini akan dinilai dari kecemerlangan sesebuah sekolah dan ganjaran dari kecemerlangan itu diberikan kepada warga pendidik,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Menerusi program Bai’ah itu menetapkan sasaran yang perlu dicapai oleh pengetua dan guru besar di sekolah masing-masing pada setiap tahun dan penilaian berdasarkan lima aspek iaitu pencapaian akademik, kokurikulum, disiplin, iklim sekolah dan kepimpinan.

Katanya, penilaian terhadap guru cemerlang dibuat Jemaah Nazir berdasarkan prestasi mereka memimpin sekolah, khususnya dalam Gred Purata Sekolah (GPS) bagi mengukur pencapaian peperiksaan dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) adalah instrumen
penarafan yang mengukur visi dan misi, pengurusan organisasi, pengurusan program pendidikan dan pencapaian murid.
“Guru besar atau pengetua memainkan peranan penting dalam merancang, mentadbir, menyelaras dan memantau pembelajaran di sekolah. Mereka turut bertanggungjawab mewujudkan suasana kondusif untuk pembelajaran, sekali gus mengurangkan tekanan kepada pelajar, guru dan seluruh warga sekolah, “katanya.

Jelasnya, guru besar layak cemerlang bakal menerima RM7,000 sekali pemberian, manakala bagi guru-guru sekitar RM1,500 dan kakitangan sokongan sekitar RM900



Kepimpinan tentukan kecemerlangan akademik pelajar

ILMU kepimpinan instruksional (berbentuk pengajaran) perlu didedahkan kepada semua pengetua dan guru besar sekolah di seluruh negara sebagai usaha melahirkan pelajar yang cemerlang akademiknya.
Menurut Pengetua Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, Abas Awang, kepimpinan yang berfokuskan kepada instruksional dapat memastikan guru mengajar yang terbaik dan murid belajar yang terbaik.
Katanya, ini kerana kepimpinan pengetua dan guru besar merupakan faktor penentu kecemerlangan akademik pelajar.
``Pengurus sekolah perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan yang berkualiti dan mampu mempengaruhi serta menjalinkan perhubungan yang baik dengan pegawai bawahannya,'' katanya.
Pencapaian
Beliau berkata demikian pada Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-11 anjuran IAB dengan kerjasama Kumpulan Utusan di Sepang, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Abas berkata, hubungan kepimpinan sekolah dengan pencapaian pelajar dapat membawa kesan terhadap pencapaian akademik pelajar.
Hasil kajiannya mendapati, sekolah yang prestasi akademik pelajarnya tinggi adalah sekolah yang baik pengurusan kurikulumnya.
Selain itu, sekolah-sekolah yang baik juga selalunya cemerlang dari segi kualiti kepimpinan instruksional; kejelasan visi, misi dan dasar pendidikan; peranan panitia; program post-mortem, program mentor-mentee dan kualiti sistem kawalan.
Abas berkata, hasil rumusan kajian mengesyorkan beberapa tumpuan kepada kepimpinan instruksional antaranya pelantikan pengetua/guru besar hendaklah mengambil kira kemampuan kepimpinan dalam bidang instruksional dan bukan hanya berasaskan senioriti.
Selain itu katanya, guru-guru yang mempunyai kelulusan sijil kepengetuaan daripada IAB perlu diutamakan dan semua pengetua pengetua/guru besar, penolong kanan, guru kanan dan penyelia petang perlu diberi latihan kepimpinan instruksional di IAB.










Pengetua teraju kecemerlangan sekolah

Oleh TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
tansrialimuddin@yahoo.com
PENULIS ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Pengetua merupakan orang penting yang boleh mencorakkan pencapaian cemerlang sesebuah sekolah melalui keterampilan, dedikasi dan keperibadian yang ada pada dirinya.
Ilmu kepengetuaan pula ialah memiliki kemahiran mentadbir dan mengurus, kemahiran sosial, kemahiran berfikir dan lain-lain kemahiran yang boleh membantu mempercepatkan lagi pencapaian dan kecemerlangan sekolah.
Demikianlah antara intisari ucapan perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia kali ke-50 di Subang Jaya, Selangor, Jun lalu.
Persidangan tersebut dianjurkan oleh Majlis Pengetua Sekolah Menengah dengan tema 'Kepimpinan Holistik Menjana Transformasi Pendidikan Negara'.
Bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020, transformasi dalam bidang pendidikan perlu dilakukan secara berterusan terutama bagi melahirkan modal insan yang holistik yang mampu mengharungi segala cabaran sama ada di peringkat domestik atau global.
Tidak dapat dinafikan bidang pendidikan merupakan asas utama kepada pembangunan negara. Dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan pendidikan itu, peranan kepimpinan pengetua sering dijadikan fokus utama.
Dalam hal ini pencapaian sesebuah sekolah tidak dilihat dari pencapaian akademik semata-mata tetapi yang lebih penting dapat melahirkan pelajar yang holistik iaitu mempunyai kemahiran intelek, sosial, fizikal dan berkeupayaan menyesuaikan diri dalam apa sahaja situasi dan keadaan.
Banyak kajian telah dilakukan untuk melihat faktor kejayaan sesebuah sekolah dan ramai di kalangan mereka berpendapat peranan pengetua dan ditambah memiliki ilmu kepengetuaan adalah faktor yang signifikan.
Kepimpinan yang berkualiti dan holistik akan dapat mengubah sekolah yang hanya dalam keadaan biasa kepada sekolah yang berkesan atau cemerlang.
Dalam usaha untuk melahirkan sekolah cemerlang itu, ada beberapa kriteria yang perlu dimiliki oleh pengetua, antaranya mereka mestilah merupakan seorang yang berwawasan.
Oleh itu, bagi mencapai hasrat tersebut sebagai pemimpin utama di sekolah mestilah mempunyai perancangan dan strategi tertentu. Bagi mencapai hasrat tersebut mereka juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama kuat daripada semua peringkat warga sekolah.
Bagi mencapai matlamat ke arah negara maju seperti yang digariskan dalam dasar negara, Kementerian Pelajaran telah menyediakan pelan dan garis panduan tertentu untuk dilaksanakan oleh semua sekolah.
Justeru pengetua mestilah berupaya untuk memahami dan sentiasa mengamalkan dasar-dasar yang telah disediakan, keupayaan untuk menterjemahkan dasar kepada tindakan memerlukan kemahiran tertentu yang dimiliki oleh pengetua berkenaan.
Dari segi peribadi pengetua yang berkesan kebiasaannya memiliki sifat dedikasi, bertanggungjawab, berkeyakinan tinggi dan tidak mudah berputus asa.
Kemahiran atau memiliki ilmu kepengetuaan akan dapat membantu pengetua melaksanakan tugas dengan lancar. Pendekatan kepimpinan yang holistik dengan menggunakan pelbagai gaya kepimpinan akan dapat mempengaruhi orang bawahannya supaya bekerja untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
Pengurusan sumber manusia terutama keupayaan menguruskan guru dan pelajar secara berkesan akan dapat membantu mencapai matlamat sekolah dengan cepat. Guru merupakan aset penting kepada sekolah.
Dengan memberikan 'empowerment' dan kepercayaan akan membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan yakin dan sedia memberi sokongan kepada perancangan yang telah disediakan.
Pengetua yang berkesan tidak akan mengabaikan hubungan baik dengan ibu bapa dan komuniti. Pelbagai aktiviti perlu diadakan secara berterusan.
Masalah disiplin pelajar, kekurangan dana dan sebagainya dapat diatasi melalui perkongsian pintar dengan pihak-pihak di luar sekolah terutama dengan ibu bapa.
Peranan pengetua adalah penting bagi membantu merealisasikan dasar-dasar kerajaan khususnya dalam melahirkan warga negara yang kompeten, bertanggungjawab dan sedia menghadapi cabaran masa depan.



Ramai pengetua kerap `melekat' di kerusi pejabat

KEBANYAKAN pengetua sekolah kini didapati kurang menjalankan kerja-kerja `meronda' di sekitar sekolah atau menjadi `walk about principal', sebaliknya ramai daripada mereka lebih kerap `melekat' di kerusi pejabat (`arm chair principal').
Menurut pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Mohamed Sulaiman, perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana seorang pengetua yang berkesan seharusnya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sekolah secara menyeluruh.
``Pengetua seharusnya kerap `turun padang' melawat kelas, memerhati guru mengajar, melawat makmal dan bengkel serta bertanyakan masalah guru mengajar dan pembelajaran pelajar.
``Pengetua juga hendaklah membuat analisis tentang kekuatan dan kelemahan sekolah dari semua aspek merangkumi pelajar, guru dan dirinya sendiri (penge-tua).
``Pentadbiran sekolah, kewangan, kemudahan, kurikulum (aktiviti dalam bilik darjah), kokurikulum (aktiviti luar bilik darjah), program sukan dan PIBG antara yang harus diberi perhatian,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu pembentangan kertas kerja bertajuk Kepimpinan dan Pengurusan Strategik untuk Kecemerlangan Sekolah- Peranan Pengetua pada Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-11 di Sepang, baru-baru ini.
Seminar berlangsung tiga hari bermula pada 17 Disember lalu itu merupakan anjuran Institut Aminuddin Baki (IAB) dengan kerjasama Kumpulan Utusan adalah bertemakan Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Cemerlang Aspirasi Negara.
Objektif
Apa yang penting tambah Mohamed, keperluan seorang pengetua untuk menentukan objektif yang berlandaskan untuk mengekal kekuatan dan mengatasi kelemahan supaya matlamat sekolah boleh dicapai.
Tegasnya, jika input atau kemahiran tidak mencukupi, pengetua harus merancang untuk mendapatkannya.
``Rancangan perlu dibuat untuk menggembleng input dalam proses pengajaran-pembelajaran, kokurikulum dan sukan supaya hasilnya terserlah,'' ujarnya.
Beliau membentangkan satu contoh, seorang pengetua menetapkan pencapaian tahap kelulusan 100 peratus bagi semua subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai sebahagian perancangan strategik sekolah.
Subjek
``Dalam tempoh jangka masa dua tahun, pengetua seharusnya menganalisis kekuatan dan kelemahan subjek.
``Berapa subjek yang sudah mencapai 80 hingga 100 peratus dan berapa subjek (termasuk Matematik, Sains dan bahasa Inggeris) yang pencapaiannya 40 peratus atau kurang?
``Berapa subjek yang kelulusan hanya 20 peratus dan apakah puncanya dan bagaimana hendak meningkatkan pencapaian subjek yang pencapaiannya rendah. Adakah faktor kritikalnya guru, peralatan atau motivasi pelajar dan sebagainya?'' katanya.
Katanya, selain dari Barat, hasil kajian oleh Faridah Hassan dan beliau sendiri menerusi Asian Academy of Management Journa (1996) bertajuk Strategic Marketing Practices of High Performing Malaysian Firms menunjukkan pengurusan strategik memberi kesan positif kepada prestasi sesebuah organisasi, sekolah turut tidak terkecuali.
Justeru katanya, dua faktor penting iaitu kepimpinan yang berkesan dan pengurusan yang strategik perlu dijadikan usaha berterusan sebagai budaya pemimpin berwawasan.
``Jika pengetua dapat memberi kepimpinan yang berkesan kepada guru, pentadbiran dan pelajar serta merancang dan melaksanakan perancangan strategik, pastinya sekolah cemerlang.
``Jika semua sekolah cemerlang, sistem pendidikan negara menjadi cemerlang. Tanggungjawab berat terletak di bahu pengetua,'' katanya.





KEPIMPINAN SEKOLAH JADI KUNCI KEJAYAAN

LIDAH PENGARANG
PELAN Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) bagi tahun 2006 hingga 2010 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam merupakan agenda penting negara bagi membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia.
Ia dirancang dalam kerangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Misi Nasional bagi memenuhi dua terasnya iaitu pertama meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara. Kedua, memupuk minda kelas pertama dan menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina serta produktif.
Meneliti dokumen PIPP, kita percaya ia merupakan rancangan pendidikan terbaik dan paling sesuai untuk negara ini dalam usaha mencapai cita-cita Wawasan 2020.
Pastinya cabaran yang menanti adalah pelaksanaan untuk menjayakannya yang pasti menuntut komitmen dan usaha bersungguh-sungguh daripada pelbagai pihak terbabit, khususnya pegawai dan kakitangan jentera kerajaan termasuk tenaga pengajar di sekolah-sekolah.
Namun begitu kita meletakkan dua kunci utama untuk mencapai kejayaan sebenar dalam mencapai matlamat rancangan itu.
Dua kunci itu adalah kepimpinan di peringkat sekolah dan komitmen ibu bapa. Di sini ingin kita menekankan tentang peranan kedua-dua ibu dan bapa, dan bukannya ibu sahaja.
Sesungguhnya nilai kepimpinan dan keupayaan pengurusan di sekolah memainkan peranan amat besar, malah lebih penting daripada apa yang dilakukan di peringkat rancangan dan penggubalan polisi di pejabat Pusat, negeri ataupun daerah.
Dalam hal ini, pengetua dan guru besar akan menentukan hala tuju sekolah dan menyelesaikan masalah-masalah bagi mengatasi cabaran-cabaran untuk memenuhi kehendak pelan dan polisi yang disediakan oleh para perancang dan pengurus pendidikan.
Pengetua dan guru besar memimpin pendidik dan guru di sekolah-sekolah yang akhirnya mencorak usaha pencapaian pendidikan pelajar.
Justeru, kita percaya kepimpinan unggul di peringkat sekolah perlu diberi perhatian dan sokongan sewajarnya untuk mewujudkan sekolah yang berkesan dan menepati PIPP.
Tetapi sekolah pula merupakan sebahagian daripada masyarakat yang hanya dapat berjaya dengan sokongan dan penglibatan aktif daripada ibu dan bapa.
Guru hanya satu sisi bagi kejayaan anak-anak, tetapi untuk melengkapkan pendidikan dalam erti kata yang luas, iaitu melangkaui aspirasi akademik ialah para ibu dan bapa.
Kita juga percaya mutu peranan ibu dan bapa wajar dipertingkatkan kerana aspirasi Misi Nasional dalam bidang pendidikan memerlukan penyertaan mereka.



Pengetua sekolah diminta perkasakan kepimpinan diri

KUALA TERENGGANU 22 Julai - Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad hari ini berkata pengetua sekolah seharusnya memperkasakan kepimpinan diri sejajar dengan perubahan peranan mereka yang semakin kompleks dalam usaha melahirkan generasi yang berkualiti.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian yang dijalankan pengetua harus mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi untuk mengurus dan mentadbir sesebuah sekolah kerana peranan mereka mempengaruhi kecemerlangan sesebuah sekolah.
"Untuk melahirkan generasi yang berkualiti dan mewujudkan sebuah sekolah yang cemerlang, kita memerlukan kualiti kepimpinan yang tinggi untuk mengurus dan mentadbir sekolah," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia kali ke-41 hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Abdul Rafie Mahat.
Musa berkata bagi tujuan itu, menjadi tugas kementerian untuk mewujudkan pengetua yang berwibawa sebagai pemimpin dan pengurus.
Beliau berkata, sebagai pemimpin pendidikan yang berperanan untuk menghasilkan generasi yang berkualiti, seseorang pengetua mesti mempunyai kawalan dan pengaruh yang tinggi.
``Ini bermakna pengetua mampu atau dapat meramal dengan lebih tepat tentang apa yang akan berlaku dan apakah pula respons pihak bawah pimpinannya terhadap pelaksanaan sesuatu program pendidikan yang telah dirancangkan,'' katanya.
Selain itu, kata beliau, pengetua juga perlu memantau proses pengajaran dan pembelajaran serta cara guru-guru di sekolah mereka mengajar bagi memastikan kaedah dan sukatan pelajaran sentiasa menepati sistem pendidikan negara.
``Dalam usaha mengharungi cabaran, bukan sahaja matlamat pendidikan itu perlu difahami dengan jelas, tetapi asas yang menjadi landasan matlamat dan kaedahnya perlu kemas dan mantap,'' katanya. - Bernama

Peranan serampang dua mata pengetua
PENGETUA yang baik bukan setakat berjaya sebagai pengurus organisasi sekolah tetapi harus mampu menjadi pemimpin pengajaran yang berkesan.
Pensyarah Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Shukery Mohamed bagaimanapun berkata, situasi sebenar yang berlaku adalah sebaliknya.
Di negara ini katanya, kepimpinan pengajaran tidak diberi keutamaan kerana pengetua lebih menumpukan kepada isu pengurusan.
``Sedangkan sebenarnya, kemahiran pengurusan hanya melibatkan kerja-kerja rutin (harian) sahaja,'' katanya pada Seminar Kepengetuaan Kebangsaan Kali Ke-2, di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika membentang kertas kerja `Kepengetuaan dan Kepimpinan Pengajaran: Cabaran Kini dan Masa Depan.
Jelasnya, daripada pandangan menyeluruh, kepimpinan pengajaran merangkumi aspek yang boleh meningkatkan pengajaran guru seperti pencerapan berterusan dan pemupukan budaya sekolah.
Sementara daripada pandangan berorientasikan proses pula jelasnya, ia memfokuskan kepada pengajaran seperti pendekatan guru, alat bantu dan komunikasi.
``Apapun ia harus mencakupi perancangan untuk membantu meningkatkan pembelajaran murid, bukan pencerapan, pemantauan atau menilai prestasi guru saja,'' katanya.
Sehubungan itu katanya, pengetua harus menguasai beberapa aspek seperti pengetahuan pembelajaran dan pengajaran serta kemahiran interpersonal.
Sambungnya, pengetua mesti bijak menjalankan tugas, membina kepercayaan, membedah siasat organisasi serta menangani proses.
Justeru tiga ciri penting kepimpinan yang diperlukan ialah pengetahuan, mengetahui tugas sendiri serta kemahiran komunikasi.
Bagaimanapun, Dr. Shukery tidak menafikan cabaran yang membebani pengetua termasuk hal remeh-temeh yang sepatutnya diuruskan orang lain.
``Mesti tahu keutamaan. Kalau pengetua nak buat semua - berdepan masyarakat, urus sukan, jumpa kontraktor - memang teruk,'' ujarnya.
Kerana itu sarannya, pengetua mesti menguruskan kerja yang bertimbun dengan mewujudkan `perkongsian pintar' bersama rakan guru yang lain.
Katanya, walaupun pengetua mendapat latihan formal selama tiga tahun tetapi mereka masih mengamalkan `tingkah laku lama'.
`Tingkah laku lama' yang dimaksudkan ialah mereka berjaya menjadi pengurus yang cekap tetapi gagal sebagai pemimpin pengajaran yang berkesan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan, sekolah bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang peperiksaan tetapi juga cemerlang tingkah laku.
Sekolah katanya, harus menjadi taman ilmu sementara bilik guru sebagai tempat diskusi profesional, bukannya `pusat remaja masalah' atau `bilik gosip'.
``Pendek kata, kita tidak mahu orang kata, sebut sekolah, di situ tempat segala masalah,'' ujarnya.







Kecemerlangan sekolah bergantung pengetua

BANDAR SERI BEGAWAN 26 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan sistem pendidikan negara melahirkan modal insan berkualiti dan pelajar berprestasi tinggi sangat bergantung kepada kemampuan kepimpinan di peringkat sekolah terutama pengetuanya dalam menjalankan tugas dengan cemerlang.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ibu bapa dan guru bertanggungjawab dalam pembentukan minda pelajar, pengetua sekolah pula berperanan untuk meningkatkan kemampuan guru bagi menentukan acuan generasi masa depan.
"Sebagai ibu bapa, kita sering memilih sekolah yang bukan sahaja kerana kualiti kemudahannya untuk anak-anak belajar tetapi juga kepimpinan sekolah itu yang melibatkan guru dan pengetua," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertemakan Perkongsian dan Menggunapakai Dinamisme Pemimpin Sekolah Asia Tenggara ke Arah Pembentukan Modal Insan dan Pendidikan Inovasi Abad Ke-21 pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima dan Forum Pengetua Sekolah ASEAN (SEASPF) Ketiga di sini hari ini.
Menurutnya yang juga Menteri Pelajaran, ibu bapa percaya sekolah yang mempunyai kemudahan, guru dan pengetua cemerlang akan dapat menyediakan peluang yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
Sehubungan itu katanya, pengetua sekolah perlu mempunyai keupayaan yang tinggi dalam menjalankan tugas mereka termasuk mampu membawa perubahan positif di kalangan pelajarnya.
"Pengetua sekolah mesti responsif terhadap pertumbuhan yang dinamik dan pembangunan di sekeliling anak-anak dan mampu menyediakan masa depan untuk mereka.
"Ini menuntut pengetua sekolah mesti mempunyai wawasan untuk pelajarnya bagi menjadi apa dan apa yang mampu dilakukan oleh mereka," katanya.
Muhyiddin berkata, pengetua sekolah yang mempunyai wawasan baru bukan sahaja mampu mencapai aspirasi negara dalam bidang pendidikan tetapi juga dapat mengupayakan kehidupan pelajar selepas sekolah tanpa mengira kaum, status sosial dan jantina.
Timbalan Perdana Menteri berkata, para pengetua juga perlu diberi galakan dan sokongan terutama dalam menghadapi cabaran semasa agar mereka mampu menjadi peneraju yang baik.
Selain perlu mendapatkan idea baru tentang bilik darjah dan pendidikan, katanya, pengetua sebagai peneraju perubahan perlu diberi pendedahan mengenai pemikiran strategik dan kecekapan dalam organisasi.
Forum tersebut yang akan berakhir Jumaat ini bertujuan meningkatkan kerjasama antara persatuan-persatuan pengetua di rantau ini, mempromosikan globalisasi dalam pendidikan, mengukuhkan keupayaan kepimpinan dan mewujudkan sistem pendidikan yang lebih baik untuk ASEAN.
Pada akhir forum anjuran Sekretariat SEASPF itu, satu deklarasi akan dikeluar dan diserahkan kepada kerajaan masing-masing untuk tindakan lanjut.





'Pengetua jangan hanya jadi pengurus rutin'

GENTING HIGHLANDS 2 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pengetua supaya berubah daripada menjadi pengurus rutin kepada pengurus pemimpin bagi memastikan tadbir urus sekolah menjadi lebih cekap.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengetua yang mempunyai sifat sebagai pengurus pemimpin mahir dalam menjalankan tugas terutama membabitkan dimensi kepimpinan pengajaran dalam mencorakkan iklim dan budaya pengajaran dan pembelajaran yang terbaik di sekolah.
"Dalam dimensi ini, pengetua berperanan memberi kepimpinan, galakan dan sokongan kepada guru dan murid di samping mewujudkan keadaan persekitaran yang kondusif, sihat serta memberangsangkan proses pengajaran dan pembelajaran.
"Selain melibatkan guru dalam pelbagai aktiviti pendidikan, pengetua hendaklah menyampaikan maklumat yang cukup dan tepat, menerima pandangan secara terbuka dan menghargai sumbangan guru serta kakitangan di bawah pimpinannya," katanya.
Beliau berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Kali Ketiga Tahun 2010 di Institut Aminuddin Baki di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.
Persidangan tiga hari bertemakan Kepimpinan Berimpak Tinggi Dalam Merealisasikan Gagasan 1Malaysia anjuran Majlis Pengetua Cemerlang Kebangsaan (MPCK) dihadiri 300 pengetua cemerlang dari seluruh negara.
Dalam pada itu, Muhyiddin berharap pengetua tidak melupakan satu lagi dimensi iaitu pentadbiran dan pengurusan kerana ia juga amat penting dalam memastikan proses pembangunan modal insan dapat dicapai.
"Dimensi pentadbiran dan pengurusan menekankan budaya kerja yang cemerlang dan ia juga menganjurkan kepada pengetua supaya memberi keutamaan kepada budaya kreatif dan inovatif, berintegriti tinggi, semangat kerja berpasukan dan komitmen tinggi di sekolah," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin juga menggesa para pengetua memberi tumpuan terhadap kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran dan sentiasa berusaha untuk melakukan penambahbaikan.
"Untuk mencapai matlamat ini pengetua perlu mempunyai kecenderungan membawa perubahan sosial yang membina, mengenal pasti kelemahan kontroversi dan konflik seterusnya mengambil pendekatan strategik bagi menangani isu dan permasalahan yang wujud.
"Proses memperbaiki potensi pelajar juga perlu dilakukan sepanjang masa di sekolah. Dalam konteks ini, aspek pengajaran dan pembelajaran serta pemantauan menjadi agenda utama bagi setiap pimpinan sekolah.
"Jika tidak diberi perhatian bersungguh-sungguh terhadap aspek kualiti pengajaran dan pembelajaran, masalah keciciran akademik dan moral di kalangan pelajar tidak akan dapat diatasi dan secara tidak langsung boleh mencetuskan masalah sosial dalam masyarakat," katanya.
Tambah beliau, dalam menghadapi era globalisasi, pengetua juga perlu melakukan penyesuaian dalam pentadbiran mereka supaya selaras dengan keutamaan serta keperluan masyarakat domestik dan global yang sentiasa berubah.
"Hal ini hanya dapat direalisasikan sekiranya suasana kerja yang kondusif diwujudkan, latihan yang bersesuaian diberikan, kebajikan guru dan urusan berkaitan dengan perkembangan kerjaya diberi perhatian, supaya kepuasan kerja dapat dicapai," katanya.

Guru Besar perlu ada kepimpinan berkualiti

SEREMBAN 21 Julai - Guru besar perlu mempunyai aspek kepimpinan dan pengurusan berkualiti dalam menguruskan pembelajaran formal dan tidak formal di sekolah masing-masing, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui amalan itu kualiti pelajar akan dapat dijana di samping mementingkan budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.
''Kualiti pendidikan di sekolah amat bergantung kepada keterampilan dan profesionalisme yang dimiliki oleh guru besar dan guru.
"Kualiti bukanlah satu destinasi tetapi satu perjalanan yang berterusan," ujarnya.
Muhyiddin berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia Ke-15 dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Ke-27 di Klana Resort di sini.
Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Ruslan Madon.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu mengumpulkan hampir 500 peserta yang mewakili lebih 7,600 guru besar seluruh negara.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran juga menggesa seluruh kepimpinan dalam bidang pendidikan melakukan perubahan sosial dengan mengenal pasti kelemahan dan seterusnya mengambil pendekatan strategik untuk menanganinya.
Dalam ucapan itu juga, beliau mahu setiap warga pendidik mengikis keraguan tentang keupayaan sekolah kebangsaan dalam memberi dan menyediakan pendidikan berkualiti.
"Kita harus mempunyai keyakinan penuh bahawa sekolah kebangsaan adalah wadah terbaik untuk memupuk perpaduan dan membangunkan potensi diri para pelajar secara holistik," tegasnya.

ENGETUA mestilah berani melakukan pembaharuan yang positif dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang dalam memberi kepimpinan dan menjalankan pentadbiran sekolah.
Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad berkata, pengetua harus berkemampuan melakukan pembaharuan dalam menanam sikap berdaya saing.
``Kini bukan lagi zaman kita hanya perlu untuk menguasai ilmu dan teknologi, bahkan kita juga mesti berupaya mencipta ilmu dan teknologi baru untuk bersaing dengan orang lain,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis jamuan tahunan Institut Pengetua Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Institut Pengetua ditubuhkan untuk menganugerahkan ijazah peringkat sarjana dan kedoktoran dalam bidang kepengetuaan kepada bakal pengetua sekolah dan institusi-institusi pendidikan seumpamanya.
Institut ini memberi latihan kepada bakal pengetua mendapat pengetahuan teori, prinsip dan pendekatan berkaitan dengan kepengetuaan, perspektif dan pemikiran terbuka, fleksibel dan kreatif.
Mengulas mengenai penubuhan institut itu, Musa berkata, ia merupakan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan guru-guru yang baik bagi mengajar di luar bandar.
``Para pengetua harus bersedia menerima pembaharuan terhadap diri mereka.
``Mereka sewajarnya diberi peluang memikul tanggungjawab ini untuk mencuba sejauh mana kegigihan dan semangat yang ditanam sepanjang menjalani kursus di institut tersebut,'' ujarnya.
Justeru katanya, pengetua harus menyahut cabaran ini dan bersedia membuat pembaharuan terhadap cara pemikiran mereka.
Menurutnya, pengetua perlu menukar cara pemikiran daripada pemikiran kritikal kepada pemikiran kreatif.
``Sekarang bukan masanya untuk menjadi pengkritik tanpa memberi jalan penyelesaian.
``Kita mesti mempunyai minda yang kreatif untuk menjana idea bagi menyelesaikan sesuatu masalah,'' ujarnya.
Pengetua juga kata Musa, haruslah memberi penekanan terhadap pembaharuan yang harus dilakukan dalam pentadbiran mereka di sekolah.
``Pentadbiran di sekolah perlu sentiasa dikemas kini agar menjadi lebih cekap, efektif dan produktif bagi melahirkan pelajar yang cemerlang,'' tambahnya.
Selain pembaharuan-pembaharuan tersebut Musa berkata, dua ciri yang menjadi teras kepimpinan yang cemerlang dinilai dari sudut sikap dan integriti seseorang pengetua.
Menurutnya, sikap pengetua akan mempengaruhi corak pentadbiran dan pengajaran guru di sesebuah sekolah.
``Sekiranya mahukan sekolah penyayang, pemimpin kena menunjukkan sikap penyayang kepada anak buahnya dan pengetua juga harus mentadbir sekolah dengan cemerlang jika mahu melahirkan pelajar yang cemerlang,'' katanya.
Menurut Musa, pengetua yang mempunyai integriti merupakan pengetua yang cemerlang dan dihormati masyarakat.
``Pengetua hendaklah tegas mempertahankan kebenaran dan tidak mudah percaya dengan gosip,'' katanya.

Memperkasa kepimpinan pengetua
PADA abad ke-21, kita akan dapat melihat seorang pengetua yang muda, bukan lagi guru paling senior yang telah beruban rambutnya yang biasa dilihat pada hari ini.
Pengetua masa depan ialah guru-guru yang terpilih dan kemudian dilatih dengan teori dan amali kepengetuaan, supaya akhirnya nanti mampu menjadi pemimpin dan bukan sekadar pentadbir sekolah.
Pemilihan pengetua di kalangan guru paling kanan yang menjadi antara faktor pelantikan sebagaimana amalan sekarang tidak lagi relevan.
Pengetua masa depan ialah mereka yang memiliki ciri-ciri dan kemahiran tertentu, yang prosesnya dibuat melalui latihan dan bukannya melalui pengalaman mengajar di kelas semata-mata. Mereka adalah kalangan guru-guru terpilih yang pada umur awal 30-an lagi sudah dilatih dan didedahkan dengan pelbagai aspek sistem pendidikan negara.
Soal memperkasa kepimpinan pengetua inilah yang dibincangkan oleh 250 pengetua dalam Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah di Taman Negara Resort (TNR), Kuala Tahan baru-baru ini.
Persidangan kelolaan Persatuan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah (PKPSM) yang mewakili 1,565 pengetua, mencapai kata sepakat meluluskan resolusi menyokong langkah Kementerian Pendidikan supaya guru dilatih dahulu sebelum dilantik sebagai pengetua. Resolusi ini bertepatan dengan tema persidangan ke-37 persatuan tersebut iaitu Memperkasa Kepimpinan Pendidikan Ke Arah Sekolah Berkesan.
''Sebenarnya tidak ada masalah dengan sistem pelantikan sekarang, tetapi kita sedang hadapi alaf baru, pada abad ke-21 macam-macam kemahiran, nak pakai multimedia dan komputer. Bukan orang macam kita yang perlu ada pada abad itu, orang macam saya dah pencen masa itu,'' ujar Yang Dipertua PKPSM, Mohd. Taib Hussin yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampangan, Seremban berseloroh.
Mohd. Taib menjelaskan, pengetua yang lebih berkesan peranannya perlu dilatih di mana mereka kemudiannya mampu membuat anjakan paradigma terhadap sebarang perubahan dengan lebih cepat dan pantas.
Katanya, latihan awal merupakan cara terbaik, jika kementerian mahu melahirkan seorang pengetua yang benar-benar mencapai tahap cemerlang.
''PKPSM sambut baik cara lantikan pengetua yang baru ini, kita tidak ada iri hati terhadap cara ini,'' ujarnya yang juga merupakan antara lapan orang pengetua berstatus cemerlang di negara ini.
Sehubungan itu, mengikut perancangan, peranan Institut Aminuddin Baki (IAB) akan diperluaskan untuk memenuhi tuntutan tersebut.
Program latihan kepengetuaan yang baru dijadualkan bermula akhir tahun ini dengan kerjasama sebuah universiti tempatan.
Kursus itu, sebagaimana yang digariskan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjurus untuk memastikan pengetua memiliki ciri atau kemahiran tertentu.
Najib telah menggariskan lima ciri atau kemahiran utama yang perlu dimilki oleh pengetua untuk menjadikannya seorang pemimpin yang efektif iaitu:
* Pertama: Pengetua haruslah berwawasan dan jelas tentang matlamat yang hendak dicapai oleh organisasinya serta berkeupayaan pula menjelaskan kepada orang yang dipimpinnya. Maknanya, pengetua itu mestilah seorang perancang yang berkesan dan memiliki kecekapan merangka strategi, mengemudi dan mengarah proses persekolahan yang berkesan supaya benar-benar dapat menjamin pencapaian misi dan matlamat pendidikan yang tersurat dan tersirat.
* Kedua: Pengetua adalah principal teacher dan pedagogical leader. Secara idealnya pengetua perlu mempunyai kemahiran instructional yang tinggi supaya dapat memberi bimbingan yang efektif dalam aspek pengajaran.
* Ketiga: Pengetua perlu memiliki keupayaan berkomunikasi dengan baik dan berfikiran reflektif, kreatif, konstruktif dan berupaya mencetuskan pemikiran ahli-ahli organisasinya. Beliau juga perlu mempunyai kemahiran sebagai kaunselor dan pengurus yang cekap.
* Keempat: Pengetua harus memiliki kemahiran diplomasi dan daya penarik yang boleh meraih sokongan dan menggalakkan penglibatan ibu bapa serta komuniti setempat dalam meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah.
Dalam aspek ini, pengetua harus mempraktikkan konsep 'ibu bapa sebagai rakan kerja di sekolah'.
* Kelima: Pengetua harus bersifat terpuji iaitu bercirikan insan cemerlang, bijak memimpin, berakhlak, mempamerkan teladan yang baik dan berketerampilan.
Kemahiran yang disebutkan Najib ini, tidak akan datang sendiri atau melalui proses biasa menerusi pengalaman mengajar di kelas. Ia seperti kata Najib, ''diperoleh oleh seseorang melalui pembelajaran, latihan dan pengalaman''.
Sebab itu, mungkin seorang pengetua pada masa depan akan mencapai tahap pendidikan sehingga ijazah kedoktoran di mana kini jumlah yang memiliki kelulusan setinggi itu adalah kecil. Bagaimanapun, ciri-ciri dan kemahiran yang disebutkan oleh Najib itu bukannya tidak ada di kalangan pengetua yang ada sekarang, ''cumanya ia kurang menyerlah,'' kata Mohd. Taib. ''Jadi kita hendak tingkatkan penyerlahan itu.''
Bagi Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Abdul Shukor Abdullah pula, ciri dan kemahiran yang disebutkan oleh Najib itu sangat perlu ada pada seseorang pengetua.
Ini kerana sekolah negara ini akan bergerak kepada sekolah bestari yang memerlukan kekayaan tindakan dan pemikiran berasaskan inisiatif setempat dan tidak terikat dengan kawalan dari pusat.
Oleh: ZULKIFLI HAMZAH


No comments :

Post a Comment